Sunday, September 28, 2014

Pasukan penyelamat Jepun bergegas ke puncak Gunung Ontake


ANGGOTA bomba berada di kaki Gunung Ontake, selepas dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan puncak gunung berkenaan. - Foto AP
TOKYO: Lebih 500 anggota tentera dan polis dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan puncak gunung berapi yang popular dalam kalangan pendaki, sehari selepas ia meletus secara tiba-tiba dan memerangkap ratusan pengunjung ketika terdapat laporan bercanggah berhubung kehilangan dan kecederaan pendaki.
Media tempatan melaporkan tujuh pendaki tidak sedarkan diri, kemungkinan tertimbus dalam abu, ketika Gunung Ontake terus memuntahkan asap dan abu ke udara dan pihak berkuasa tempatan menyatakan mereka sedang berusaha menjejak 32 pendaki.
Lewat malam tadi, media melaporkan bahawa seorang wanita maut namun laporan itu ditarik balik.
Sekurang-kurangnya 40 orang dilaporkan cedera termasuk beberapa mangsa yang patah tulang.

SEBAHAGIAN pendaki turun dari Gunung Ontake, hari ini. Gunung setinggi 3,067 meter itu berada di sempadan wilayah Nagano dan Gifu dekat kawasan pergunungan di Honshu, pulau terbesar di Jepun. - Foto AFP
"Ia amat sukar untuk mengetahui apa yang berlaku di atas gunung ketika ini dan keadaan boleh berubah," kata seorang pegawai kerajaan wilayah Nagano, satu daripada dua daerah yang merentasi pergunungan Ontake dengan ketinggian 3,067 meter itu.
Beratus orang awam termasuk kanak-kanak terkandas di puncak gunung selepas ia meletus tanpa sebarang amaran sebelum tengah hari semalam dan memuntahkan abu ke bawah cerun sejauh lebih tiga kilometer.
Rata-rata mereka berjaya turun pada petang itu namun kira-kira 30 pendaki masih terperangkap pada awal pagi ini.
Rakaman video yang disiarkan di internet menunjukkan awan gergasi berwarna kelabu sedang naik menuju ke arah pendaki dan orang ramai berebut-rebut untuk turun ketika kegelapan abu berkenaan menyelubungi mereka.
"Secara tiba-tiba abu menimbun begitu cepat menyebabkan kami tidak dapat membuka pintu," kata Shuichi Mukai yang bekerja di sebuah pondok yang terletak di bawah puncak gunung itu.
Pondok itu padat dengan pengunjung yang mendapatkan perlindungan di situ.
"Keadaan betul-betul padat di sini, mungkin dalam 150 orang. Terdapat beberapa kanak-kanak menangis tetapi kebanyakan orang tenang. Kami menunggu di dalam pondok ini sehingga mereka (anggota penyelamat) memberitahu kami ia selamat untuk turun," katanya.

GUNUNG Ontake yang memuntahkan asap dan abu ke udara, semalam. - Foto AFP
Gunung Ontake yang terletak kira-kira 200 kilometer di barat Tokyo, adalah lokasi popular untuk melihat pemandangan musim luruh.
Dalam perkembangan berasingan, penerbangan di lapangan terbang Haneda, Tokyo juga mengalami kelewatan apabila beberapa penerbangan terpaksa mengubah laluan untuk mengelak puncak gunung yang merentangi antara wilayah Nagano dan Gifu, kira-kira 200km di barat Tokyo.
Bagaimanapun, jurucakap lapangan terbang berkata, kebanyakan penerbangan kembali seperti biasa hari ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment