Sunday, September 28, 2014

Lebih banyak 'baby hatch' akan dibuka seluruh negara


TENGKU FAEZAH TENGKU YUSOF | .
KUALA LUMPUR: Yayasan OrphanCare akan bekerjasama dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bagi menyediakan 10 pusat perlindungan bayi atau "baby hatch" di cawangan KPJ di seluruh negara.
  
Pegawai Perhubungan Yayasan OrphanCare Siti Naquiah Fadzil berkata satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani bersama-sama KPJ bagi penubuhan 'Baby Hatch" itu selari dengan usaha menangani kes pembuangan bayi di negara ini.
  
"Melalui perjanjian itu, bayi yang diletakkan dalam 'baby hatch' akan diserahkan kepada OrphanCare sebelum bayi itu ditempatkan bersama keluarga angkat mereka," katanya kepada Bernama di sini.
  
Beliau berkata, MoU berkenaan akan ditandatangani antara Pengerusi Yayasan OrphanCare Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan Pengarah Urusan KPJ Amiruddin Abdul Satar, pada 10 Okt ini.
  
Menolak dakwaan bahawa kewujudan 'baby hatch' menggalakkan kes pembuangan bayi dan anak luar nikah, Siti Naquiah berkata keutamaannya ialah menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa serta membantu pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak untuk mengambil anak angkat.  
  
Beliau berkata ketika ini sebanyak 3,758 permohonan diterima bagi mendapatkan bayi untuk dijadikan anak angkat.
  
Sejak penubuhan OrphanCare pada 2010, sebanyak 102 bayi telah diserahkan kepada keluarga angkat manakala 63 lagi dikembalikan kepada ibu kandung.
  
"Yayasan kami merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu pembuangan bayi.
  
"Kami berharap kes pembuangan bayi dapat dikurangkan dengan penubuhan 'baby hatch' di samping berusaha menempatkan bayi dengan keluarga yang benar-benar inginkan anak," katanya.
  
Beliau berkata lebih 50 peratus ibu kandung yang menyerahkan anak mereka kepada OrphanCare adalah lingkungan umur antara 18 dan 24 tahun dan masih berstatus pelajar.  
  
Pihaknya juga mengadakan pelbagai ceramah motivasi di peringkat institusi pengajian tinggi untuk memberi kesedaran berhubung pendidikan seks serta fungsi pusat perlindungan bayi itu, katanya.
  
"Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan kes pembuangan bayi di samping sebagai satu isyarat bahawa ada lagi insan yang sanggup menjaga bayi berkenaan," katanya.
  
Siti Naquiah berkata bukan hanya anak luar nikah yang diserahkan, tetapi ada antaranya menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan si ibu tidak mampu untuk menyara keperluan anak tersebut.
  
Beliau berkata OrphanCare kini beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, Johor Baharu, Johor dan Kota Bahru, Kelantan.
  
"Kami sedang merancang untuk membina sebuah lagi OrphanCare di Kedah," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment