BANDA ACHEH 27 Sept. - Aceh hari ini meluluskan rang undang-undang membenarkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali dikenakan ke atas pesalah homoseksual, ketika kumpulan hak asasi manusia menyifatkan keputusan berkenaan sebagai 'satu langkah ke belakang.
Anggota Parlimen Aceh yang memulakan perbincangan mengenai rang undang-undang berkenaan sejak malam tadi, secara sebulat suara bersetuju untuk meluluskannya.
Undang-undang terbabit menggariskan perbuatan liwat antara lelaki dan persentuhan badan antara wanita untuk rangsangan seks merupakan satu kesalahan dan bakal berhadapan dengan hukuman sebatan.
Hukuman itu bukan sahaja dikenakan ke atas penduduk Islam di Aceh tetapi membabitkan penduduk bukan Islam sama ada orang tempatan atau pun warganegara asing.
Perbuatan homoseksual bukan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Indonesia yang sehingga kini masih berpandukan kepada Akta Jenayah Belanda, negara yang pernah menjajah negara ini.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini dibenarkan untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah.
Wilayah autonomi itu sebelum ini melaksanakan hukuman sebatan ke atas pesalah judi, minum arak dan zina.
Sementara itu, Pengarah Amnesty International Asia-Pasifik, Richard Bennett menggesa supaya undang-undang berkenaan dimansuhkan segera demi menjaga hak asasi manusia.
"Perkara ini mewujudkan iklim homophobia, ketakutan dan gangguan kepada ramai penduduk di Aceh," jelas Bennett. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_04/Aceh-lulus-rang-undang-undang-baharu-hukum-pelaku-homoseksual#ixzz3EYYo2WW7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment