Friday, October 31, 2014

Auku: K'jaan tidak akan pinda, apa lagi mansuh


SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang mendapat tentangan para mahasiswa kerana menyekat kebebasan bersuara tidak akan dipinda bagi mengelakkan sistem pendidikan di IPTA dipolitikan pihak tertentu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada sudah mencukupi bagi menangani sebarang isu termasuk berkaitan pencerobohan kampus Universiti Malaya baru-baru ini.

Katanya, isu itu boleh ditangani pihak universiti tanpa perlu penambahan atau pindaan kepada akta sedia ada.

"Ini adalah urusan universiti. Kementerian tidak pernah campur tangan dalam urusan penadbiran universiti termasuk dari segi kegiatan, proses pengajaran dan pembelajaran program atau urusan lain," katanya dipetik Berita Harian.

Bagaimanapun katanya, terserah kepada kebijaksanaan pentadbiran univeristi untuk menangani isu itu dengan menguna pakai peruntukan Auku berdasarkan fakta sedia ada.

Pada 19 April 2012 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Universiti dan kolej Universiti (pindaan) 2012 yang membenarkan penuntut univeristi terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus sebagai sebahagian transformasi politik negara.

Di dalam isu ini Pakatan Rakyat konsistan mendesak kerajaan agar memansuhkan Auku yang dilihat telah mengongkong kebebasan mahasiswa dan ahli akademik. - HARAKAHDAILY 31/10/2014

No comments:

Post a Comment