Friday, October 31, 2014

Sweden secara rasmi iktiraf Palestin sebagai sebuah negara





STOCKHOLM – Kerajaan Sweden semalam secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sekali gus menjadikan Sweden negara Eropah pertama yang membuat keputusan itu, kata Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom (gambar).
Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven dalam ucapan pada Oktober lalu berkata bahawa Parti Sosial Demokrat pimpinannya akan memenuhi manifesto untuk mengiktiraf negara Palestin.
Langkah tersebut bagaimanapun ikecam oleh Israel dan Amerika Syarikat.
“Pengiktirafan hari ini (semalam) merupakan sumbangan untuk masa depan Palestin lebih baik setelah berdepan dengan sekatan, kemusnahan dan kekecewaan.
“Segelintir pihak berpendapat keputusan yang dibuat adalah terlalu awal. Namun, saya bimbang ia mungkin agak terlambat,” kata Wallstrom.
Palestin mahu menjadikan wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel dan Genting Gaza sebagai sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. Mereka juga berusaha melobi kuasa-kuasa dunia untuk mengiktiraf hak kedaulatan negara itu dalam rundingan damai dengan Israel.
Wallstrom berkata, Sweden bertindak demikian kerana mahu status Palestin setara dengan Israel di samping memberi harapan kemanan baharu kepada golongan belia kedua-dua belah pihak.
Pada masa kini, meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 2012, namun kebanyakan negara Kesatuan Eropah masih belum membuat pengiktirafan secara rasmi.
“Ahli-ahli EU pada 2009 mengesahkan kesediaan mereka untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada masa yang sesuai. Namun, kami kini menjadi negara pertama dan berharap menjadi ikutan kepada negara lain,” katanya.
Beliau berkata, meskipun pada hakikatnya pihak berkuasa Palestin tidak dapat mengawal semua tanah milik mereka dan tidak dapat menetapkan sempadan negara, Palestin memenuhi undang-undang antarabangsa untuk diiktiraf. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3HgELhnmG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment