Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2014 3:07 PM
Dua beradik berusia 13 dan 11 tahun itu selaku plaintif memfailkan saman melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 38, menerusi Tetuan Rusmah Arunan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dua beradik itu yang diwakili peguam Datuk Dr S Arunan dan peguam Gary Edward Chong, turut menamakan ketua pengarah Imigresen, panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapanya, Jee Jing Hang, 41, yang merupakan penumpang pesawat MH370 telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing, pada 6.30 pagi, 8 Mac.
Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan suatu penerbangan yang selamat, namun telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.
Mereka juga mendakwa MAS tidak memberi penjelasan yang sewajarnya tentang kejadian yang berlaku semasa penerbangan pesawat itu, khususnya dalam pengetahuan syarikat penerbangan tersebut dan gagal menyempurnakan tanggungjawab, sekaligus menyebabkan kehilangan bapa mereka.
Selain itu plaintif mendakwa ketua pengarah DCA sebagai defendan kedua, yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan itu selamat, telah gagal dan cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.
Pasangan adik beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen telah gagal dan cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan menggunakan pengenalan palsu.
Mereka juga mendakwa pihak TUDM telah gagal dan cuai untuk menghantar pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah MH370.
Justeru itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi terhadap kesemua defendan atas kehilangan bapanya yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan sebanyak RM16,865 dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami kedua-dua adik beradik itu.
Selain itu, turut dituntut adalah ganti rugi teladan kerana mengabaikan nyawa bapanya, penumpang lain dan anak kapal serta meletakkan keluarga mereka dalam kecelaruan, kos, faedah dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi.
No comments:
Post a Comment