Friday, October 31, 2014

Usah sertai Halloween

Oleh Suraya Roslan

surayaroslan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perayaan Halloween bertentangan dengan nilai syariah dan semua umat Islam tidak perlu menyambutnya kerana dibimbangi akan menjejaskan akidah individu terbabit.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, perayaan berkenaan tidak boleh diraikan masyarakat Islam kerana tujuan asas perayaan itu memperingati individu yang sudah meninggal dunia.
“Islam tidak pernah mengesyorkan untuk mengingati orang mati dalam keadaan demikian, sebaliknya kita seharusnya memperbanyakkan doa serta membaca al-Quran.
“Meraikan perayaan berkenaan dibimbangi menjejaskan akidah individu terbabit dan semua umat Islam digesa menjauhinya dan menghindari daripada menyertai sebarang bentuk perayaan seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Menurutnya, secara asasnya, perayaan berkenaan dipengaruhi tradisi pagan kuno berkaitan pesta semaian hasil tanaman yang dilakukan golongan Samhain dan kalangan kaum Celtic di Ireland serta Britain.
“Kini, perayaan berkenaan biasanya diraikan dengan aktiviti seperti parti pakaian, kanak-kanak berpakaian aneh melawat rumah serta menyalakan unggun api.
“Kita tidak mahu masyarakat Islam terjebak dengan perayaan seumpama itu dan seharusnya orang Islam harus lebih peka dalam meraikan sesuatu perkara dengan melihat kesannya terhadap akidah,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Datuk Nadzim Johan berkata, hukum Islam jelas melarang umatnya meniru budaya dan cara hidup orang bukan Islam terutama dalam sambutan Halloween.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:07 AM


PERAYAAN Halloween dipengaruhi tradisi pagan kuno.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5501#sthash.nB5AJcfC.dpuf

No comments:

Post a Comment