Friday, October 31, 2014

Ketuanan Melayu: Makcik Wahidah dibiar merempat


HARAKAHDAILY | .

Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff menyantuni Makcik Wahidah di Kampung Chubadak Tambahan.

KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LPTB PPM) merasa sedih dan kecewa dengan insiden rumah pasangan keluarga Melayu di Kampung Chubadak Tambahan, Kuala Lumpur yang dirobohkan tempoh hari, ujar pengerusinya, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Rumah tersebut didiami oleh pasangan warga emas iaitu Makcik Wahidah bersama suaminya Haji Halim dan mereka telahpun menduduki tanah tersebut semenjak 45 tahun yang lalu.

Insiden tersebut mengakibatkan dua orang mahasiswa yang mempertahankan rumah beliau daripada diroboh telah ditangkap oleh pihak berkuasa.

"Apa yang menyedihkan, kerja merobohkan rumah beliau dibuat tanpa rundingan atau notis awal dari mana-mana pihak dan tiada langsung bayaran pampasan yang diberikan sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju sebelum ini," ujar Ahmad Zamri.

Apa yang dikesali juga, katanya sehingga kini tidak ada seorang pun pemimpin Umno sama ada Menteri Wilayah Persekutuan mahupun ketua Umno bahagian tampil memberikan bantuan atau pembelaan terhadap keluarga ini.

Menurutnya, mungkin slogan 'Ketuanan Melayu' atau ‘Rakyat Didahulukan’ hanya untuk membela rakyat yang mesra mereka sahaja tetapi rakyat marhaen seperti Makcik Wahidah ini dibiarkan merempat dan menderita.

Melihat kepada tragedi sedih di Kampung Chubadak Tambahan dan peristiwa-peristiwa sama yang kerap berlaku di kebanyakan perkampungan-perkampungan tradisi lain di seluruh negara, beliau berpendapat sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan lebih serius dalam menangani isu-isu berkaitan perkampungan tradisi/warisan dan juga kebajikan peneroka-peneroka bandar seperti yang berlaku kepada keluarga Haji Halim ini.

Katanya, satu polisi khas atau undang-undang khusus perlulah diwujudkan segera bagi mewartakan perkampungan tradisi/warisan ini di sisi undang-undang yang bertujuan untuk mengawal dan melindungi perkampungan tersebut serta menjaga kebajikan peneroka-peneroka bandar yang terpaksa dipindahkan akibat arus pembangunan, perintah mahkamah atau sebab-sebab yang lain.

Tambahnya, pindaan juga perlu dibuat kepada beberapa peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi melindungi perkampungan tradisi/warisan ini daripada terus diganggu-gugat dengan sewenang-wenangnya.

"Mereka adalah rakyat negara ini yang telah lama mendiami sesebuah kawasan tersebut dan telah banyak menyumbang ke arah pembangunan bandar dan hal ehwal kemasyarakatan setempat," jelasnya yang juga pengamal undang-undang.

Beliau berkata, sekiranya perpindahan benar-benar tidak dapat dielakkan, maka sewajarnyalah layanan yang adil dan berperikemanusiaan perlu diberi khususnya dari segi penempatan baru yang bersesuaian dan bayaran pampasan yang adil dan munasabah mengikut situasi semasa.

Pihak kerajaan juga, kata beliau haruslah membuat kawalan yang ketat terhadap apa-apa projek pembangunan yang dirancang berdekatan atau di atas tanah kampung tersebut dengan mengambil kira faktor penduduk asal di kawasan itu yang harus diberikan keutamaan.

Tambah beliau, sewajarnya perkampungan tradisi/warisan yang sudah berusia ratusan tahun ini dipelihara dan disusun semula dengan lebih teratur serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas melalui peruntukan dana khas dari kerajaan.

"Dalam insiden di Kampung Chubadak Tambahan ini, saya menegaskan bahawa diplomasi dan rundingan adalah jalan terbaik supaya hak tuan rumah dapat dipertahankan," katanya.

Katanya, golongan penduduk, aktivis atau mana-mana pihak yang berjuang mempertahankan rumah tersebut perlu diberikan ruang untuk berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang, bukannya ditangkap, diludah dan diperlakukan dengan cara yang sangat tidak bertamadun.

Bag beliau, penyelesaian jangka panjang perlu dibuat bagi memastikan kebajikan dan hak-hak peneroka bandar terus terbela dengan adilnya.

"Biarlah episod hitam di Kampung Chubadak Tambahan ini menjadi detik kezaliman yang terakhir dengan era baru selepas ini di mana kampung-kampung warisan atau tradisi menjadi kebanggaan khususnya kepada orang-orang Melayu di negara ini," ujarnya lagi. -HARAKAHDAILY 31/10/2014

No comments:

Post a Comment