Friday, October 31, 2014

Komuniti Afrika Barat di AS dibuli ekoran wabak Ebola



REUTERS - JURURAWAT Amber Vinson yang bertugas di Hospital Presbyterian Texas, Dallas, Amerika Syarikat dan disahkan sembuh daripada jangkitan Ebola pada Selasa lalu berpelukan dengan rakannya sebelum pulang ke rumahnya.


NEW YORK – Komuniti Afrika Barat di bandar raya ini mengadu bahawa anak mereka dibuli di sekolah, manakala perniagaan pula suram ekoran ketakutan orang ramai terhadap penularan wabak Ebola.
Perasaan panik menghantui ramai warga Amerika Syarikat (AS) sejak seorang rakyat Liberia membawa masuk virus maut itu ke AS. Mangsa kemudian meninggal dunia di sebuah hospital di Texas pada 8 Oktober lalu.
Dua jururawat yang menjaganya turut dijangkiti walaupun mereka kini sembuh, manakala seorang doktor AS yang pulang ke sini selepas merawat pesakit Ebola di Guinea telah disahkan dijangkiti demam Ebola pada minggu lalu.
Pada masa yang sama, banyak negeri di AS dan Pentagon melaksanakan undang-undang kuarantin terhadap orang ramai yang kembali dari negara yang terjejas Ebola seperti Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
Perkembangan itu mendorong sebuah komuniti kulit hitam di sini, Majlis Penasihat Afrika (AAC) mengadakan sidang akhbar di kawasan Bronx yang mempunyai penempatan masyarakat Afrika antara yang terbesar di AS.
Pada sidang akhbar kelmarin, AAC menuntut agar rakyat AS dididik mengenai Ebola bagi menamatkan ketakutan melampau atau stigma terhadap penyakit itu.
“Saya mahu komuniti saya berasa selamat dan di lindungi,” ahli Kongres Bronx, Jose Serrano.
Pada minggu lalu, dua budak lelaki Senegal diejek dengan gelaran Ebola dan diserang di sebuah sekolah di Bronx. Mereka cedera dan dirawat di hospital.
Bapa mangsa menyifatkan serangan itu dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak yang jahil tentang Ebola. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3HgCRdZeI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment