Friday, October 31, 2014

Tindakan tegas kenderaan guna lampu 'stroble', 'HID'


HARAKAHDAILY | .
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih ingkar dengan menggunakan lampu "strobe", lampu "High Intensity Discharged (HID)" dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata penggunaan lampu itu dilihat semakin berleluasa sejak dua bulan ini dan tindakan tegas akan dikenakan bermula 1 Nov ini.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah dengan mengedarkan risalah bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung peraturan itu serta saman yang dikenakan jika masih ingkar.

"Ia bagaikan satu trend biarpun telah banyak kali kita memberi nasihat namun ada yang tidak mengendahkan dan masih berleluasa menggunakannya.

"Ini bukan perkara baru, undang-undang ini telah lama ditetapkan namun menerusi operasi-operasi yang dijalankan kita dapati semakin ramai pengguna tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Sementara itu Abdul Rahman turut menggalakkan orang ramai hadir ke Ibu Pejabat dan cawangan JPJ di negeri untuk melakukan pemeriksaan cermin gelap tanpa dikenakan saman.

Katanya inisiatif yang dilakukan itu bagi memberi peluang kepada orang ramai memeriksa kenderaan mereka secara percuma sebelum penguatkuasaan terhadap cermin gelap dimulakan Mac tahun depan.

"Pemeriksaan ini kita akan lakukan sehingga bulan April tahun hadapan dan orang ramai boleh membuat pemeriksaan kadar ketelusan cermin seperti yang telah ditetapkan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment