Kuala Terengganu: Penyebaran video dan gambar lucah di laman sosial yang kononnya mengaitkan pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), hanyalah niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama di negara ini.
Sambil menafikan pelaku dalam video lucah yang sudah tersebar luas itu adalah UAI, pembantunya Zulkifli Wahab berkata, ia adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama selain cuba menggagalkan usaha penyebaran dakwah dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Bukan...jangan percaya..itu usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bukan saja UAI, tetapi golongan ulama di negara ini.
“Kebelakangan ini seperti sudah wujud ‘trend’ untuk menjatuhkan golongan ustaz dan ulama ini.
“Ini kerana, pihak yang berkenaan seperti tidak senang duduk apabila melihat masyarakat Islam di Malaysia sekarang semakin suka dan rajin ke majlis ilmu hingga program ceramah agama dan dakwah sudah menjadi fenomena sekarang,” katanya.
Justeru, katanya, pihak tertentu sengaja merancang usaha kotor ini untuk menjatuhkan ulama dan memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
“Ia termasuklah program ‘I Want To Touch A Dog’ di ibu kota baru-baru ini. Mereka akan buat apa saja untuk merosakkan umat Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau yang turut bimbang menyaksikan trend berniat jahat pihak tidak bertanggungjawab dalam melemahkan agama Islam di negara ini.
Ditanya penerimaan UAI mengenai penyebaran video lucah mirip dirinya itu, Zulkifli berkata, UAI masih meneruskan program ceramah seperti biasa dan tidak terjejas dengan penyebaran video palsu itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan belum ada laporan diterima pihaknya berhubung penyebaran video dan gambar lucah berkenaan.
Sementara itu, UAI enggan mengulas berhubung isu penyebaran gambar dan video lucah yang dikaitkan dengannya di laman sosial.
UAI juga enggan menemui media yang menunggunya di Masjid Taqwa, di sini sejak jam 8 malam tadi.
Beliau cuba mengelak daripada berjumpa media dengan keluar dari pintu belakang masjid sebelum bergegas ke sebuah rumah salah seorang penduduk di kawasan Batu 6, di sini sebaik selesai menunaikan solat Isyak.
Bagaimanapun, rumah itu dikawal rapi oleh penyokongnya termasuk Unit Amal Pas Kawasan Batu 6 yang tidak membenarkan media masuk.
Malah, Unit Amal PAS kawasan Batu 6 turut meminta media beredar meninggalkan lokasi itu dan memaklumkan UAI enggan memberi sebarang komen.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:14 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3825#sthash.zNCsVhiJ.dpuf
No comments:
Post a Comment