Nibong Tebal: “Saya hanya mampu berdoa supaya tiada kejadian buruk berlaku apabila tinggal dalam rumah yang usang, tambahan pula saya hanya berseorangan,” kata Asiah Ariffin, 57.
Ibu tunggal itu kembali tinggal di rumah pusaka ibunya di Jalan Hutan Lipur, Sungai Buaya di sini, sejak lima tahun lalu.
“Sebelum ini, saya tinggal di Ijok, Perak bersama anak bongsu, manakala rumah pusaka ini disewakan kepada orang lain. Tetapi, selepas suami meninggal dunia dan rumah pusaka ini tiada penyewa, saya kembali tinggal di sini sejak lima tahun lalu kerana tidak sanggup membiarkan ia kosong walaupun keadaannya semakin uzur.
“Apabila hujan lebat dan ribut, saya selalu kesejukan kerana bumbung bocor dan tidak dapat tidur lena waktu malam,” katanya.
Mengimbas kisah hidupnya, dia dianugerahkan 10 anak hasil perkahwinan dengan suami pertamanya, tetapi mereka berpisah sejak 20 tahun lalu, manakala suami keduanya meninggal dunia.
Semua anaknya yang berusia antara 22 dan 38 tahun kini tidak lagi tinggal sebumbung memandangkan mereka sudah berumahtangga serta mempunyai komitmen sendiri.
Disebabkan dia hanya tinggal bersendirian, segala makan minum serta pengurusan dirinya diuruskan sendiri memandangkan keadaannya masih mampu berdikari.
Untuk menyara kehidupannya, Asiah bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Sungai Kechil di sini, dengan upah RM35 sehari dengan waktu bekerja dari jam 7 pagi hingga 3 petang dan menggunakan basikal sebagai pengangkutannya.
“Untuk ke tempat kerja, saya perlu mengayuh basikal selama 30 minit sehala. Walaupun hujan, saya tetap berkayuh ke kedai berkenaan demi mencari rezeki kerana itu saja mata pencarian yang mampu saya lakukan dalam usia sebegini.
“Memang agak memenatkan kerana mengayuh basikal ke tempat kerja yang agak jauh dari rumah, namun saya bersyukur mempunyai basikal ini yang membolehkan saya terus bergerak.
“Saya kini menghidap kencing manis, tetapi kerana faktor kewangan tidak mencukupi saya hanya membeli ubat sebanyak RM60 untuk dua bulan sekali,” katanya.
Asiah tetap bersyukur kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan barangan kering setiap kali menjelang musim perayaan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:11 AM
ASIAH tinggal bersendirian di rumah pusaka usang milik ibu sejak lima tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3813#sthash.eJJfB2Ks.dpuf
No comments:
Post a Comment