Butterworth: Dua beradik sanggup mengetepikan kepentingan diri dengan tidak berkahwin semata-mata mahu memastikan adik dan dua kakak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) mendapat penjagaan rapi.
Setiap hari, Azizah Mohamad, 51, dari Kampung Telok, Sungai Dua, dekat sini, dibantu adiknya, Abidin, 50, akan menguruskan tiga saudara mereka yang lumpuh sejak kecil akibat demam panas iaitu Zaiton, 60, Habesah, 55, dan Noorlia, 47.
Sebelum ini, ibu mereka, Zainab Othman, 78, menguruskan keperluan tiga beradik itu, namun warga emas berkenaan kini sudah terlantar sejak setahun lalu akibat uzur dan turut memerlukan penjagaan rapi.
Tiga beradik OKU berkenaan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900 sebulan selain bantuan zakat RM500 sebulan serta sumbangan Restoran Nasi Kandar Nasmir, RM600 sebulan.
Azizah berkata, wang bantuan itu digunakan bagi membeli lampin pakai buang untuk ibu, adik serta dua kakaknya yang mencecah RM700 sebulan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Mohamad Yusoff Mohd Noor bersama Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Shah Inor Shahbudin melawat dan memberi sumbangan kepada tiga beradik OKU berkenaan.
Mohamad Yusoff berkata, pihaknya simpati dengan tiga beradik berkenaan kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri dan terpaksa bergantung pada dua beradik lain.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:13 AM
MOHAMAD Yusoff melawat keluarga berkenaan di Kampung Telok, Sungai Dua, Butterworth, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3823#sthash.KhUt9nQz.dpuf
No comments:
Post a Comment