Selain itu turut menjadi sasaran ialah orang awam yang cuba mera­suah atau memberi habuan kepada anggota penguat kuasa bagi melin­dungi perbuatan jenayah mereka.
Langkah tersebut berikutan amalan rasuah yang dikatakan semakin serius dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian berbilion-bilion ringgit.
Terbaharu, SPRM menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan polis dalam satu operasi di Sarawak, sejak minggu lalu kerana terlibat dalam pembalakan haram yang mengakibatkan kerugian RM43 juta dalam tempoh sembilan bulan.
MOHD. SHUKRI ABDULL
Operasi bersepadu yang dina­makan Ops Tukul itu telah dijalankan SPRM dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perhutanan Sarawak.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, dalam operasi yang dijalankan sejak 20 Oktober itu sebanyak 30 akaun pemilik syarikat balak bernilai lebih RM18 juta turut dibekukan.
Beliau berkata, pegawai kanan polis yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sarawak itu ditahan kerana me­nerima rasuah berjumlah RM16,000 daripada pembalak haram.
“Bahagian Perisikan SPRM sudah membuat pemerhatian dan pemantauan selama sembilan bulan di 12 lokasi di Sarawak termasuk Kuching, Limbang, Sibu, Ulu Ba­ram, Lundu, Kapit dan Miri. Risikan kami mengesahkan bahawa kecurian balak di kawasan yang dipantau memang berlaku.
“Mereka yang ditahan berumur 28 hingga 70 tahun itu terdiri daripada pengarah urusan syarikat, pemilik syarikat dan pengurus kem. Nilai rasuah yang diberi adalah RM300 hingga RM10,000,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, Utusan Malaysia dalam laporannya mendedahkan kegiatan pembalakan haram di seluruh negara semakin serius angkara perbuatan rasuah yang berleluasa dan turut melibatkan anggota penguat kuasa.
Kegiatan yang dinaungi sindiket serta kumpulan mafia bersenjata api telah mengakibatkan negara kerugian ratusan juta ringgit de­ngan Sarawak sahaja pada tahun lalu mencatatkan RM100 juta.
Mohd. Shukri seterusnya memberitahu, daripada jumlah yang ditahan, lima individu telah didakwa manakala selebihnya masih ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Empat individu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Limbang hari ini manakala seorang lagi di Mahkamah Sesyen Kuching semalam. Selebih­nya masih ditahan termasuk pegawai kanan polis berkenaan hingga 26 Oktober ini,” ujarnya.
Kesemua individu yang ditahan boleh didakwa mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika disabitkan kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.