Menurut kajian itu yang dikeluarkan minggu lalu, bangunan baharu Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Nine Elms merupakan bangunan kedutaan paling mahal bernilai 600 juta pound (RM3.2 bilion), manakala bangunan kedutaan Australia, Kanada, Jerman dan Jepun turut mempunyai nilai hartanah yang tinggi.
Sementara itu, bangunan kedutaan negara-negara G7 dianggar bernilai 1.1 bilion pound (RM5.78 bilion), manakala bangunan kedutaan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dianggar bernilai 881 juta pound (RM4.6 bilion).
Bagi bangunan kedutaan Mexico, Indonesia, Nigeria dan Turki pula, nilai hartanah bangunan kedutaan mereka dianggarkan bernilai 85 juta pound (RM446 juta).
Laman web, MailOnline melaporkan, lapan kedutaan lain yang terletak di kawasan mewah di London iaitu di Kensington, Knightsbridge dan Belgravia, turut mengalami peningkatan bernilai lebih 100 juta pound (RM525.2 juta).
Kajian itu turut mendedahkan, jika negara kepulauan kecil Polynesia di Tuvalu (negara yang terletak antara Hawaii dan Australia) menjual bangunan konsulatnya di Raynes Park di barat daya London, negara itu mampu membayar sebanyak 11 peratus daripada hutang negara itu yang berjumlah 6.6 juta pound (RM34.7 juta).
Nilai hartanah kedutaan Ecuador berhampiran Harrods di Knightsbridge bernilai 15 juta pound (RM79 juta) mampu meningkat sekiranya pelarian antarabangsa yang juga pengasas laman web kontroversi Wikileaks, Julian Assange meninggalkan bangunan tersebut.
Kedutaan asing di United Kingdom (UK) dikecualikan daripada beberapa cukai seperti cukai dewan dan duti setem sekiranya bangunan itu dijual.
Sekiranya semua bangunan kedutaan dijual, Kementerian Ekonomi dan Kewangan UK boleh menanggung kerugian duti setem sebanyak 279.3 juta pound (RM1.5 bilion).
Penulis majalah kewangan, Spear’s Magazine, Josh Spero berkata, nilai hartanah kedutaan asing di London sangat tinggi dan mungkin melebihi empat bilion pound (RM21 bilion).
“Sebagai contoh, bangunan kedutaan Rusia bernilai lebih 100 juta pound. Ini merupakan nilai yang tinggi, namun hampir kesemua bangunan kedutaan bukan untuk dijual,” katanya.