Friday, October 24, 2014

TPPA: Kajian PBB buktikan Malaysia rugi


NIZAM MAHSHAR | .
SATU kertas kajian baru oleh seorang pakar ekonomi kanan PBB telah membuktikan Malaysia secara terang tidak akan mendapat manfaat besar dari segi nilai tambah perdagangan domestik sekiranya menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan mungkin merugikan buat beberapa industri tertentu.

Dalam laporannya, Rashmi Banga dari Unit Kerjasama Ekonomi dan Integrasi di kalangan Negara-negara Membangun (ECIDC) mengatakan Malaysia akan mempunyai kelemahan imbangan dagangan (BOT, didefinisikan sebagai eksport tolak import) dari AS$300 juta setahun, kira-kira RM900 juta setahun ke Amerika Syarikat.

Ini adalah rendah berbanding dengan apa yang sedia ada sekarang.

Ini bermakna walaupun kerajaan menegaskan TPPA sebuah perjanjian di mana “keuntungan melebihi kos” dan sering menguar-uarkan ini kepada media, ia sebenarnya adalah separuh benar.

Menurut akhbar, sekiranya Malaysia menyertai TPPA, eksport negara akan berkembang ke negara-negara TPPA yang lain, tetapi import dari negara-negara TPPA ini akan meningkat lebih banyak, menyebabkan negara-negara ini menanggung kerugian bersih dalam imbangan perdagangan. Imbangan perdagangan ialah perbezaan antara nilai barangan eksport dan import.

Pada tahun 2013, eksport Malaysia ke 11 negara TPPA bernilai AS$93.7 bilion dan import barangan AS$73.9 bilion. Malaysia dengan itu menikmati lebihan dalam imbangan perdagangan dengan 11 negara sebanyak AS$19.8 bilion.

Kajian terbaru dalam kertas ini menunjukkan sebaik sahaja TPPA dilaksanakan, eksport Malaysia ke 11 negara akan meningkat sebanyak AS$1.5 bilion (daripada AS$93.7 bilion kepada AS$95.2 bilion). Tetapi nilai import akan meningkat lebih banyak daripada itu, dengan sebanyak AS$2.9 bilion (daripada AS$73.9 bilion kepada AS$76.8 bilion).

Oleh itu, BOT untuk Malaysia dengan 11 negara-negara rakan TPPA akan merundum sebanyak AS$1.465 bilion (atau RM4.79 bilion). Lebihan dagangan akan jatuh daripada AS$19.84 bilion kepada AS$18.37 bilion.

Ini bermakna Malaysia tidak akan mempunyai keuntungan bersih daripada peningkatan perdagangan yang terhasil dari TPPA. Oleh kerana import akan meningkat lebih pantas daripada eksport, Malaysia akan mengalami kerugian bersih dalam imbangan perdagangan. Kerugian ini nyata, iaitu AS$1.465 bilion atau RM4.79 bilion setahun (kadar pertukaran pada 17 Oktober AS$1 = RM3.27).

Krisis keseimbangan perdagangan negara mungkin akan menjadi lebih goyah daripada apa yang dibayangkan kertas kerja ini kerana Malaysia akan berupaya mengeksport lebih banyak tekstil dan pakaian ke Amerika Syarikat pada kadar tarif sifar tanpa halangan lain.

Amerika Syarikat sebenarnya menggesa satu peraturan “Yarn-Forward”, di mana negara-negara TPPA seperti Malaysia hanya boleh menggunakan benang dari negara-negara TPPA sahaja untuk menghasilkan tekstil dan pakaian. Ini membuatkan kos pengeluaran beberapa tekstil dan pakaian dari Malaysia melonjak menjadi lebih mahal kerana tidak mendapat kebenaran menggunakan benang dari negara-negara kos rendah seperti China atau Indonesia.

Oleh itu anggaran peningkatan eksport tekstil dan pakaian Malaysia ke Amerika Syarikat dengan sebanyak kira-kira RM 454 juta (AS$139 juta) boleh dianggap sebagai sensasi penambahan keuntungan negara. Jika peningkatan eksport tekstil adalah kurang dari RM454 juta ini, maka kerugian dalam imbangan perdagangan Malaysia akan menjadi lebih dari RM4.79 bilion setahun.

Kerugian boleh mencecah lebih daripada RM5 bilion setahun.

Walaupun benar jumlah ini dianggap kecil, tetapi secara keseluruhan ia mempunyai kesan yang lebih besar ke atas rakyat Malaysia dari segi pekerjaan.

Di samping itu, Rashmi menambah sekiranya TPPA ditandatangani, Malaysia akan melihat lonjakan dalam dari Amerika Syarikat dan Jepun.

Di dalam sektor jentera elektrik, 61% import negara akan didapati dari Amerika Syarikat. Dan sebanyak 97% import kenderaan serta 90% dalam besi dan keluli akan didapati dari Jepun.

Semua industri-industri ini ada di Malaysia dan mereka bakal hadapi persaingan secara langsung – industri besi kita, mesin elektrik dan sektor automotif.

Kita semua tahu bahawa sektor-sektor ini mengambil kerja berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia, sedang tenat, amat bergantung kepada dana dan dasar-dasar kerajaan dan kini perlu bersaing di peringkat global pula.

Di samping itu, Malaysia kini merupakan pengimport kenderaan skala besar seperti kereta api dan trak pengangkut dari China.

Malaysia juga pengeluar alat ganti automotif yang merupakan sebahagian daripada Dasar Automotif Nasional yang diumumkan baru-baru ini.

Pakar ekonomi mengatakan eksport kasar perkhidmatan perniagaan kita – yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mendapat sokongan untuk pertumbuhan dalam Bajet 2015 – hanya menyumbang eksport tambah nilai domestik (DVA) sebanyak 3.8% sahaja.

Selain dari keseimbangan negatif dari nilai tambah perdagangan yang ketara ini, terdapat juga unsur negatif tersembunyi dari segi hak harta intelek yang akan mempengaruhi harga ubat-ubatan dan juga penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS), lantas membuktikan perjanjian ini tidak memberi manfaat kepada Malaysia dari apa-apa jua perspektif.

Jadi, sekali lagi, Perdana Menteri kita telah memberi gambaran fakta yang tidak benar. Bantah TPPA menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan juga Perdana Menteri Najib Razak untuk menjelaskan pendirian mereka.

Di manakah fakta-fakta yang berbicara tentang “keuntungan melebihi kos” dalam TPPA? Di manakah janji terbitan laporan analisis kos faedah yang tertunggak sejak Mei 2014?

Kami di Bantah TPPA akan terus menyeru orang ramai untuk memprotes perjanjian ini sehinggalah semua soalan-soalan kami dijawab dan segala fakta, angka dan penglibatan secara langsung untuk berdebat mengenai perjanjian ini disediakan kepada masyarakat awam dan pihak-pihak berkepentingan.

Pakar-pakar ekonomi dari PBB seperti Rashmi, pemenang Hadiah Keamanan Nobel seperti Joseph Stiglitz dan juga ahli-ahli ekonomi tempatan juga telah sebulat suara mengatakan perjanjian perkongsian ini satu idea yang buruk.

Malah, Jean Pierre Lehmann dari Institut Pengajian Pengurusan yang berpusat di Switzerland (yang menawarkan program MBA terbaik di dunia) telah pun memberitahu Simposium Ekonomi Global (GES), bahawa ia (TPPA) satu “idea bodoh”. Jadi kami minta kerajaan kita untuk menjelaskan siapakah orang-orang bijak yang mengatakan sebaliknya.

Penulis ialah Pengerusi Bantah TPPA.

No comments:

Post a Comment