Friday, October 3, 2014

7 juta jemaah menjelang 2040


Gambar bertarikh 11 Mei lalu merakamkan Pengarah Urusan Syarikat Bawabat Makkah, Essam Kalthoum (kiri) yang menyelia beberapa projek sekitar Mekah menunjukkan prototaip wajah kota Mekah apabila projek pembesaran kota Mekah siap sepenuhnya pada 2020. - AGENSI
MEKAH 2 Okt. - Projek pembesaran kota suci Mekah yang sedang rancak dilaksanakan apabila siap kelak bakal mengubah landskap tanah suci itu, kata Datuk Bandar Mekah, Osama al-Bar.
Projek yang menelan kos sebanyak AS$60 bilion (RM196.4 bilion) itu dijangka siapa pada 2020 dan mampu menampung kira-kira tujuh juta jemaah haji menjelang 2040 berbanding hanya tiga juta orang ketika ini.
Osama berkata, hampir separuh peruntukan itu digunakan bagi membeli kira-kira 5,800 buah rumah yang kemudian dirobohkan bagi pelaksanaan projek itu yang dibangunkan oleh Saudi Binladin Group.
Selain pembesaran Masjidil Haram, terdapat juga projek mega lain yang sedang dilaksanakan di sekitar kota Mekah termasuk pembinaan kira-kira 40 bangunan tinggi di kawasan Jabal Omar, sebuah bukit di barat Masjidil Haram yang kini diratakan.
Jabal Omar bakal menempatkan hotel-hotel mewah yang menyediakan kira-kira 11,000 bilik termasuk Hilton Suites dan Hotel Anjum yang baru sahaja beroperasi beberapa bulan lalu.
Di bahagian selatan masjid suci itu pula, terdapat projek menara jam yang kini berdiri gah pada ketinggian 600 meter yang menjadi sebahagian daripada kompleks tujuh menara yang sudah siap dibina sepenuhnya, selepas merobohkan sebuah kubu yang dibina pada zaman Empayar Usmaniah.
Terdapat juga projek Jabal Sharashif, yang sebelum ini merupakan sebuah kawasan setinggan yang menempatkan migran dari Myanmar dan Afrika yang dirobohkan bagi pembinaan sebuah kawasan perumahan baru bagi penduduk Arab Saudi dan juga hotel.
Kawasan itu turut menempatkan sistem kereta api empat laluan termasuk landasan kereta api laju yang menghubungkan Jabal Sharashif dengan bandar pelabuhan Jeddah yang menjadi lokasi lapangan kapal terbang dan laluan ke Madinah.
Projek pembesaran Masjidil Haram itu, bagaimanapun tidak terlepas daripada kritikan banyak pihak selepas kebanyakan kawasan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda dimusnahkan.
Antara kawasan bersejarah yang menerima kesan daripada pelaksanaan projek pembesaran Masjidil Haram itu ialah rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembagunan Hotel Hilton pada 2008. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141003/lu_04/7-juta-jemaah-menjelang-2040#ixzz3F1kq8PkH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment