Meniru amalan biasa di India
Ibu -bapa dan rakan-rakan di lihat memanjat dinding pusat pemeriksaan untuk memberi jawapan kepada pelajar.
BIHAR - INDIA. Menipu dalam peperiksaan adalah perkara biasa di India namun gambar terbaru yang tersebar menunjukkan amalan menipu di dalam peperiksaan dilakukan secara besar-besaran dan terang-terangan di sini.

Ramai pelajar yang menyeludup buku teks, nota ke dalam pusat pemeriksaan walaupun dikawal ketat.

Ibu -bapa dan rakan-rakan di lihat memanjat dinding pusat pemeriksaan untuk memberi jawapan kepada pelajar semasa peperiksaan sekolah menengah.

Kebanyakan insiden penipuan tahun ini dilaporkan dari daerah Saharsa, Chhapra, Vaishali dan Hajipur.

Menurut BBC, surat khabar tempatan dipenuhi dengan gambar ibu-bapa dan sanak saudara yang sedang membantu anak-anak mereka menipu walaupun terpaksa berdepan risiko.

Menurut jurugambar, Dipankar, apabila dia masuk ke dalam dewan peperiksaan dan mula mengambil gambar, pelajar tidak kelihatan bimbang sama sekali walaupun banyak laporan di akhbar-akhbar tempatan memaparkan aktiviti penipuan ini. Pihak berkuasa juga seolah-olah tidak berminat untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap pelajar ". katanya.

Dipankar berkata,  dalam satu serbuan di salah sebuah sekolah pada hari Rabu lepas, pihak berkuasa merampas sembilan guni kertas yang mengandungi jawapan.

Hampir 20 ibu bapa telah ditahan ketika cuba untuk membantu anak-anak mereka menipu, tetapi mereka telah dilepaskan selepas diberi amaran.

Mereka yang disabitkan menipu akan dihalang daripada mengambil peperiksaan sehingga tiga tahun, dan boleh dikenakan hukuman penjara atau diperintahkan membayar denda, tetapi hukuman dalam kes-kes itu jarang dilaporkan di Bihar.

Pegawai pendidikan mengatakan mereka komited untuk mengadakan pemeriksaan yang bebas, adil dan aman.

Mereka berkata, sekurang-kurangnya 400 pelajar diusir selepas ditangkap meniru.

Namun, mereka berkata, kerajaan sahaja tidak boleh berhenti untuk membasmi aktiviti penipuan tanpa bantuan daripada pelajar dan ibu bapa.

"Apa yang boleh kerajaan lakukan untuk menghentikan penipuan jika ibu bapa dan saudara-mara tidak bersedia untuk bekerjasama?,” katanya.

Menurut Menteri Pendidikan Bihar, PK Shahi, tiada langkah yang boleh diambil jika ibu-bapa dan saudara mara tidak memberi kerjasama.

“Adakah kerajaan perlu keluarkan arahan untuk menembak mereka untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.