Najib fail saman fitnah isu dana 1MDB
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily Taufek Yahya berhubung isu dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib memfailkan saman itu pada Rabu lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Writ saman itu diperoleh pemberita hari ini selepas peguam Fahmi Adilah yang mewakili Najib menyerahkan saman itu kepada Rosli dan Taufek di pejabat Harakah di sini.

Najib menamakan Rosli dan Taufek sebagai defendan pertama dan kedua.

Saman itu berkaitan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari lalu bertajuk 'Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?(Bhg 2)'.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib mendakwa artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang merujuk kepadanya dengan niat jahat bahawa beliau telah menyalah guna dana milik 1MDB.

Najib mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasinya telah terjejas dan dikecam dalam media sosial serta media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan.

Taufek pula, dakwanya, telah gagal mengamalkan prinsip 'responsible journalism' (kewartawanan bertanggungjawab) untuk mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulis dan gagal mengambil langkah mendapatkan sebarang penjelasan sebelum menerbitkan perkataan itu.

Najib juga mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya bagi meneruskan agenda defendan sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti isu yang dibangkitkan.

Beliau juga mendakwa bahawa pada 26 Februari lalu peguam yang mewakilinya telah menghantar notis tuntutan supaya defendan berhenti membuat kenyataan berkenaan artikel fitnah itu dan membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis serta penarikan balik kenyataan berkenaan.

Najib juga menuntut satu aku janji bahawa defendan tidak akan mengeluarkan kenyataan fitnah itu atau yang serupa dengannya serta membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi, kos dan perbelanjaan yang ditanggung olehnya.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan telah enggan memberi sebarang jawapan bertulis berhubung notis tuntutan itu dan ia menunjukkan defendan tidak berasa kesal atas penerbitan artikel itu.

Dalam saman ini, Najib menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta satu injunksi untuk menahan defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel berkenaan.

Turut dipohon ialah satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar. - Bernama