Friday, March 20, 2015

Tambang pengangkutan awam naik



SYED HAMID ALBAR (tengah) menunjukkan kadar tambang pengangkutan awam baharu melibatkan teksi, kereta sewa dan bas ekspres di pejabatnya di Platinum Sentral, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam membenarkan tambang baharu untuk teksi, kereta sewa dan bas ekspres dinaikkan sebanyak 20 hingga 67 peratus selepas berlaku kenaikan kos penyelenggaraan, insurans dan sara hidup.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tambang teksi dan kereta sewa naik berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira kos operasi perkhidmatan itu yang naik sebanyak 33 peratus.
Menurutnya, tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 22.6 peratus berkuat kuasa 15 Mei depan setelah kos operasi bertambah sebanyak 36 peratus.
Kata Syed Hamid, pe­ningkatan kadar tersebut hanya melibatkan teksi bajet, Teksi 1 Malaysia dan kereta sewa di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dan kadar tambang baharu tersebut berbeza dalam lingkungan RM1.25 hingga RM8.00 bergantung kepada jarak servis yang diberikan.
“Kami (SPAD) sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai. Kenaikan itu perlu bagi mengelak syarikat (pengangkutan awam) gulung tikar seperti bas henti-henti,” katanya pada sidang akhbar di Platinum Sentral di sini semalam.
“Tambang awal bagi teksi ditetapkan pada RM3 masih kekal. Bagaimanapun, ia meningkat kepada 25 sen bagi setiap 200 meter berbanding kadar sebelum ini iaitu 10 sen untuk setiap 115 meter.
“Kadar tambang bas ekspres pula meningkat dari 9.3 sen kepada 11.4 sen bagi setiap kilometer,” jelasnya.
Syed Hamid berkata, pihaknya mengambil keputusan membenarkan kenaikan tambang itu selepas mengambil kira kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam seperti peningkatan penyelenggaraan, insurans, harga tayar dan bahan api.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3UsfxFlyT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment