Wednesday, June 9, 2010

2 tahun terlantar sakit

JASIN: Seorang bekas tukang rumah kini hanya terlantar di katil sejak dua tahun lalu akibat serangan sakit sendi dan disyaki menghidap kanser terpaksa mengharap ihsan saudara-mara bagi menampung keperluan tujuh anaknya yang tinggal bersama di Jalan Hanzah, Sungai Rambai di sini.
Bapa tunggal terbabit, Abu Hasan Shakri Muharam, 52, berkata kesengsaraan hidupnya menjadi lebih parah selepas kematian isteri, Che Na Hamzah pada Disember lalu hingga memaksa urusan harian anaknya diuruskan mereka sendiri.
Menurutnya, mujur anak kedua dan ketiga yang berusia 20-an boleh diharapkan untuk menjaga keperluan harian termasuk makan minum terutama kepada empat adik mereka yang masih bersekolah.

“Kehidupan kami sekeluarga begitu susah sekarang kerana saya kini sudah hilang pekerjaan sejak jatuh sakit dan buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang kerana tidak mampu bekerja disebabkan keadaan kesihatan agak uzur.

“Malah, saya hanya mengharapkan ihsan anak kedua yang bekerja kampung dan seorang lagi anak yang bekerja di pusat beli-belah bagi menampung keperluan sekeluarga dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dia yang sukar untuk bercakap begitu terharu dan berterima kasih kepada seorang adiknya, Noraizan, 43, kerana sering menjaga keperluan keluarganya.

Sementara itu, Noraizan berkata, walaupun anak sulung kepada abangnya sudah bekerja dan berkeluarga, dia gagal membantu adik-beradiknya berikutan sibuk dengan urusan pekerjaan dan perlu menampung keperluan keluarga sendiri.

“Walaupun abang ada menerima bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan daripada Majis Agama Islam (Maim) sebanyak RM150 sebulan, ia tidak mencukupi bagi memastikan keperluan sempurna kepada semua anaknya.

“Ia tidak termasuk kos ubatan dan lampin pakai buang serta makanan sesuai untuk abang. Justeru, saya mengharapkan ada pihak sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan dan derita yang dialami keluarga abang,” katanya.

Noraizan berkata, walaupun sudah banyak rawatan dan keluar masuk hospital, punca penyakit abangnya gagal dikesan menyebabkan dia sering mengalirkan air mata mengenang nasib keluarga itu sambil berharap doktor dapat membantu.

“Memang sukar menggambarkan kepayahan hidup mereka sekeluarga berikutan abang memerlukan perbelanjaan yang besar bagi memastikan aspek pendidikan, makanan berkhasiat dan keperluan persekolahan empat anaknya mencukupi bagi membolehkan mereka tidak merasai tekanan kemiskinan,” katanya.

No comments:

Post a Comment