BAITULMAQDIS: Kumpulan hak asasi manusia Israel mendakwa tentera rejim Zionis menghalang barangan keperluan asas seperti cuka, ketumbar dan barangan permainan daripada memasuki Gaza, semalam.
Laporan Pusat Perundangan Gisha untuk Gerakan Pembebasan itu yang diumum sempena sekatan tahun ketiga ke atas Gaza mendakwa Israel hanya membenarkan 97 jenis barangan masuk ke wilayah itu berbanding lebih 4,000 produk sebelum Jun 2007.
Situasi itu berbeza dengan pusat beli-belah Israel yang menjual antara 10,000 hingga 15,000 jenis produk.
Israel mendakwa sekatan ke atas Gaza bermula Jun 2006 dan diperketat selepas Hamas menguasai wilayah itu pada 2007 perlu dilaksana bagi menghalang gerakan kumpulan pejuang Palestin itu. Rejim Zionis turut mendakwa 1.5 juta penduduk Gaza memiliki keperluan secukupnya.
Namun laporan Gisha mendedahkan Israel menyekat barangan yang tidak berkaitan dengan ketenteraan seperti halia, kertas dan peralatan muzik.
“Israel haramkan marjerin untuk kegunaan industri diimport Gaza tapi membenarkan pakej kecil barangan itu yang diguna untuk penduduk.
“Rejim Zionis turut mengharamkan getah, gam dan nailon diguna untuk menghasilkan lampin pakai buang diimport kilang di Gaza tapi membenarkan lampin keluaran syarikat Israel diimport ke wilayah itu,” ulas Gisha.
Hanya 2,300 trak membawa barang dibenar masuk ke Gaza berbanding 10,400 sebelum sekatan dan 30,000 trak masuk ke Manhattan yang memiliki penduduk seramai Gaza setiap bulan.
Gisha turut melaporkan, hanya 259 trak dibenar keluar daripada Gaza sejak Jun 2007 berbanding purata 70 trak setiap hari sebelum sekatan dilaksana.
Jumlah itu jauh berbeza dengan pengeluaran syarikat makanan Israel, Tnuva yang menghantar 400 trak barangan keluarannya setiap hari.
Sekatan itu turut menghalang usaha pembangunan semula kemusnahan yang dilakukan Israel ketika melancarkan serangan 22 hari ke atas Gaza hingga hujung Januari 2009. - AFP
No comments:
Post a Comment