Wednesday, June 9, 2010


Dr M: Israel tak boleh diheret ke mahkamah
Jun 8, 10 6:32pm
Kekejaman Israel tidak akan sampai ke muka pengadilan walaupun negara yang menjadi mangsa mempunyai hubungan diplomatik dengan regim Zionis itu, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, selagi kuasa besar dunia melindungi negara tersebut, sebarang hubungan diplomatik tidak akan memberi apa-apa makna, apatah lagi untuk mengheret regim itu ke muka pengadilan.

"Ini tidak berkesan. Banyak orang mengadakan hubungan dengan Israel. Mereka (Israel) boleh melakukan jenayah tetapi oleh kerana mereka dilindungi oleh kuasa terbesar di dunia, anda tidak boleh heret mereka ke mahkamah," katanya selepas merasmikan pameran, "The 10th International Exhibition on Laboratory Instrumentation, Equipment, Automation and Services" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir menjawab pertanyaan pemberita sama ada sudah tiba masanya untuk Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel bagi membolehkannya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa sekiranya berlaku sebarang kekejaman ke atas warga negara Malaysia.

Beliau berkata, kekejaman Israel ketika ini adalah realiti kehidupan dan tidak berkaitan dengan hubungan diplomatik.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, selagi kuasa dunia Barat tidak diimbangi kuasa Timur, dunia terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk melihat ketidakadilan Israel akhirnya ditangani.

"Saya fikir kita terpaksa menunggu 50 tahun lagi bila kuasa Barat dapat diimbangi dengan Timur. Ketika itu, barangkali kita akan lihat perhatian diberikan terhadap ketidakadilan yang dilakukan Israel," katanya.

Ahad lalu, askar regim Zionis, membunuh sembilan aktivis kemanusiaan dan menahan puluhan sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa ketika kapal itu melakukan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mavi Marmara adalah salah satu daripada konvoi beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 negara dalam misi itu.

Jumaat lalu, askar Israel menahan kapal MV Rachel Corrie pula yang ditaja Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang juga sebahagian konvoi itu.

Turut berada di atas kapal itu ialah enam sukarelawan Malaysia.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Sabtu lalu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment