Berikutan proses pengiraan undi yang berlarutan, Kongres akhirnya mengumumkan keputusan lengkap yang menunjukkan anak kepada wira-wira demokrasi Filipina itu memenangi pilihan raya Presiden Filipina pada 10 Mei lalu dengan kelebihan undi yang besar.
Aquino, 50, memperoleh lebih 15.2 juta undi, atau hampir 42 peratus daripada keseluruhan undi, untuk mencatat kemenangan terbesar pada pilihan raya Presiden dalam sejarah politik Filipina moden, menurut keputusan itu.
Bekas Presiden Joseph Estrada jauh ketinggalan di belakang di tempat kedua, walaupun beliau masih mampu memenangi hampir 9.5 juta undi bagi menebus kekecewaan setelah disingkirkan pada separuh penggal perkhidmatannya pada 2001 kerana kesalahan rasuah.
Kongres dijadual mengisytiharkan Aquino secara rasmi sebagai pemenang pilihan raya Presiden esok.
Beliau akan mengambil alih jawatan itu daripada Presiden Gloria Macapagal Arroyo yang akan berundur pada 30 Jun ini sebagai seorang pemimpin paling tidak popular di negara ini selepas hampir sedekad memegang kuasa.
Aquino mencapai kemenangan bersejarah itu dengan berjanji untuk memerangi rasuah dan kemiskinan yang membelenggu negara ini selama berpuluh-puluh tahun.
"Saya mahu memimpin mengikut teladan. Kita bercakap mengenai rasuah. Saya membuat ikrar terbuka bahawa saya tidak akan mencuri," kata Aquino dalam wawancara sehari selepas pilihan raya. - AFP
No comments:
Post a Comment