Wednesday, June 9, 2010

Turki minta bantuan negara jiran



ISTANBUL 8 Jun – Turki akan meminta sokongan negara-negara jiran di Asia Barat dan Asia pada sidang kemuncak serantau di sini hari ini bagi meningkatkan tekanan ke atas Israel berhubung pembunuhan sembilan aktivis Turki semasa serangan komando rejim Zionis itu ke atas flotila bantuan yang menuju ke Genting Gaza.
Israel sudah pun menolak gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya siasatan antarabangsa dilancarkan berhubung serangan komando rejim Zionis ke atas kapal Mavi Marmara pada minggu lepas.
Namun Turki yang menonjolkan kekuatan diplomatiknya selaku sebuah kuasa tentera dan ekonomi terbesar di rantau ini enggan berputus asa.
“Apa jua langkah yang perlu diambil akan diambil. Israel mesti menanggung akibat atas pembunuhan yang dilakukan.
“Kami sabar dan akan meneruskan proses ini dengan sabar,” kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.
Sebelum ini Turki mengelak daripada terjerumus ke dalam konflik di sebelah timurnya sementara ia berusaha untuk mencapai matlamat menyertai Kesatuan Eropah (EU), tetapi kecaman lantang Erdogan terhadap Israel menjadikan beliau wira bagi mereka yang menentang sekatan Israel ke atas Gaza.
Forum Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) yang kurang diberi perhatian sebelum ini menjadi penting sejak serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara ke Gaza pada 31 Mei lalu.
Erdogan dijadual mengadakan pertemuan sambil bersarapan pagi dengan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin hari ini selepas menemui Presiden-Presiden Afghanistan, Iran dan Syria semalam.
Israel yang turut menganggotai CICA menghantar seorang konsul ke persidangan itu kerana tidak mahu anggota kanan kerajaannya menjadi sasaran kemarahan pemimpin Turki.

No comments:

Post a Comment