Thursday, August 19, 2010

Bicara pinda nafkah anak Haleeda-Azman 27 Okt.



KUALA LUMPUR 18 Ogos - Permohonan penyanyi dan pelakon, Haleeda untuk meminda nafkah anaknya bersama bekas suami, Azman Adnan akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 27 Oktober ini.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili bekas pemain bola sepak kebangsaan itu memaklumkan telah menerima sesalinan afidavit pembelaan penyanyi itu.
Pada prosiding hari ini, kehadiran Haleeda dan Azman dikecualikan manakala peguam yang mewakili penyanyi itu, Mahyuddin Md. Zahari juga tidak hadir ekoran masalah kesihatan.
Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, memfailkan permohonan untuk meminda nafkah anak mereka, Amira Amani, 15, daripada RM350 kepada RM500 pada 12 Mac lalu.
Selain permohonan tersebut, Haleeda sebelum ini pernah mengemukakan notis tunjuk sebab kepada bekas penyerang pasukan bola sepak Selangor itu yang didakwa gagal membayar nafkah anak sebanyak RM350 sebulan secara konsisten mulai Januari 2009 hingga Mac lalu.
Azman bagaimanapun telah melunaskan tunggakan berjumlah RM3,150 pada 26 April lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Setia Kasih itu berkahwin dengan Azman pada 27 Januari 1995 dan bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003.

No comments:

Post a Comment