Thursday, August 19, 2010

Mahkamah penuh sesak, prosiding inkues kecoh


SHAH ALAM 18 Ogos - Prosiding inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini menjadi agak kecoh apabila orang ramai yang memenuhi galeri awam di Mahkamah Koroner di sini gagal mematuhi peraturan serta tidak menghormati perjalanan mahkamah.
Kebanyakan mereka bukan sahaja berbual dengan suara yang kuat, tetapi juga ketawa berdekah-dekah serta bertepuk tangan seolah-olah sedang mendengar ceramah politik.
Malah beberapa individu tanpa segan silu memberi komen serta mengeluarkan kata-kata yang bersifat peribadi dengan lantang sehingga terpaksa dihalau keluar oleh anggota polis mahkamah.
Suasana bertambah kecoh apabila Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa menyoal pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand.
Mahkamah yang sesak sejak awal pagi bertukar gamat dengan sorakan dan tepukan oleh sebahagian besar mereka yang berada di galeri awam apabila berlaku adegan sindir menyindir serta perang mulut antara Pornthip dan Abdul Razak.
Tindakan Abdul Razak mempertikaikan kelulusan Pornthip serta mendakwa pakar patologi memberi pandangan yang salah dan cuba menyerang integriti SPRM disambut dengan rungutan, sorakan 'boo' serta kata-kata yang bersifat menghina.
Bagaimanapun, mereka bersorak dan bertepuk tangan apabila Pornthip memberi jawapan-jawapan yang tidak menyebelahi Abdul Razak termasuk mendakwa Universiti Mahidol Thailand iaitu universiti tempat pakar patologi itu menuntut adalah kelima terbaik di Asia.
Keadaan itu bukan sahaja mengganggu petugas media yang berusaha untuk mendengar dan menulis catatan tetapi juga menyebabkan Koroner Azmil Muntapha Abas merasa terganggu sehingga beliau mengarahkan anggota polis menyuruh mereka yang berkenaan meninggalkan mahkamah.
Beberapa individu termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu pula dilihat mengangkat telefon bimbit seolah-olah sedang merakamkan prosiding itu sebelum ditegur oleh anggota polis.
Kekecohan berlarutan di luar mahkamah apabila salah seorang penyokong setia inkues, melaungkan 'keadilan untuk Beng Hock' sambil memegang poster dan menghalang kereta yang dinaiki oleh Abdul Razak.
Dia yang tidak pernah gagal mengikuti prosiding inkues juga berpura-pura jatuh beberapa kali dan mendakwa dilanggar kereta itu sebelum ditarik ke tepi oleh salah seorang penyokong yang hadir.
Pornthip yang terkenal dengan fesyen rambut berwarna-warni dan berbaju T ketat sebelum itu hadir di mahkamah dengan diiringi dua pengawal peribadi serta beberapa peguam.
Ketibaan mereka juga disambut dengan tepukan gemuruh oleh orang awam yang berada di mahkamah.
Prosiding inkues yang hampir sampai ke penghujung dan tidak lagi diberi liputan meluas bukan sahaja tiba-tiba menjadi tumpuan puluhan media tetapi juga orang ramai serta ahli politik yang berminat untuk mendengar keterangan Pornthip.

No comments:

Post a Comment