Thursday, August 19, 2010

Gambar Sultan Johor: Polis ambil keterangan Anwar


BATU PAHAT 18 Ogos - Polis hari ini merekodkan keterangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan berhubung penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada kain rentang bagi satu ceramah parti itu di sini bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah mengambil keterangan daripada ketua pembangkang itu di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya di Selangor.
"Polis mengambil keterangan daripada Anwar mulai pukul 11 pagi ini selama lebih sejam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis telah merekodkan keterangan 52 individu termasuk Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Turut dilaporkan empat kain rentang di Semerah, Parit Sulong, Sri Gading dan Rengit di sini telah dirampas oleh polis.
Ketika bertitah pada majlis penutupan Kembara Mahkota Johor Bermotosikal di Kota Tinggi baru-baru ini, Sultan Johor melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda pada kain rentang itu yang disifatkan baginda boleh memecah-belahkan masyarakat.

No comments:

Post a Comment