Thursday, August 19, 2010

Roslin lafaz cerai


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Selepas perkahwinan pertamanya hanya mampu bertahan selama 12 hari, pemain badminton negara, Roslin Hashim sekali lagi berhadapan dengan masalah rumah tangga apabila dia didakwa telah melafazkan cerai terhadap isteri barunya, dua hari sebelum perkahwinan mereka genap sebulan.
Lafaz yang berbunyi 'I cerai u lah' didakwa diucapkan oleh pemain badminton itu terhadap isterinya, Nurhayati Othman, 39, di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini kira-kira pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu.
Ketika lafaz itu dibuat, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman bersama suaminya yang juga bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek dan dua adik lelaki Nurhayati, Arif Rafhan serta Arif Fauzan turut berada di bilik tersebut.
Hari ini merupakan kali pertama permohonan pengesahan lafaz cerai itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.
Sewaktu memberi keterangan pada prosiding tersebut, Nurhayati menyatakan, dia bersama-sama ibu dan dua adik lelakinya itu telah pergi ke hotel berkenaan selepas mengetahui bahawa Roslin, 34, dan Raja Azmi, 50, berada di situ.
Di hotel tersebut, mereka mendapati penerbit filem '...Dalam Botol' itu telah menempah bilik hotel bernombor 533 atas namanya sendiri.
Menurutnya, kesemua mereka kemudian menuju ke tingkat lima hotel berkenaan dan menunggu Jailani di tingkat itu sebelum pergi ke bilik tersebut.
"Tiba di bilik tersebut, suami saya tiada di situ, hanya Raja Azmi yang ada. Saya kemudian meminta Jailani untuk menelefon Roslin dan memanggilnya ke bilik tersebut kerana saya ingin bersemuka dengan suami saya mengenai keadaan berdua-dua ini," ujarnya.
Nurhayati yang juga Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut mendakwa, Roslin dan kakak angkatnya itu mengaku berdua-duaan di bilik tersebut.
Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Nurhayati pada 10 Ogos lalu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.
Pasangan tersebut baru melangsungkan perkahwinan mereka pada 9 Julai lalu selepas diperkenalkan oleh Raja Azmi hampir enam bulan sebelum mereka bernikah.
Mereka dijangka mengadakan majlis resepsi perkahwinan selepas kedua ibu bapa Roslin pulang dari Mekah selepas Hari Raya Aidilfitri.
Pada prosiding hari ini, Nurhayati diwakili peguam syarie, Zulqarnain Lukman manakala Roslin diwakili peguam syarie, Roslizam Rahim.
Nurhayati juga tiba di mahkamah dengan ditemani kaum keluarganya dan rakan sekerja beliau manakala Roslin hanya ditemani peguam dan seorang rakannya.
Difahamkan, Roslin hanya pulang ke rumah isterinya sekali-sekala sejak pernikahan mereka.
Sementara itu, Roslin ketika disoal oleh Roslizam mengakui ada pergi ke hotel berkenaan tetapi dia tidak pernah memasuki bilik itu sebaliknya hanya berlegar-legar di luar kawasan hotel.
Menurutnya, dia hanya memasuki bilik 533 hotel tersebut selepas menerima panggilan Jailani untuk berbuat demikian.
Sebelum itu, katanya, dia pergi meletakkan kenderaannya selepas Raja Azmi turun dari kereta yang dinaiki mereka bersama untuk mendaftar masuk ke bilik hotel tersebut.
Menceritakan mengenai lafaz cerai itu, Roslin menyatakan, sebelum membuat lafaz itu, dia tertekan dan malu apabila mendapati isterinya menyerbu ke bilik tersebut tanpa mendapat kepastian daripadanya.
Ini kerana, jelasnya, dia ke hotel berkenaan bersama-sama Raja Azmi dengan keizinan Jailani.
"Sekiranya isteri saya mengesyaki bahawa saya menjalinkan hubungan dengan Raja Azmi, dia sepatutnya bertanya kepada saya dan bukannya menggunakan cara yang mengaibkan saya," katanya.
Ketika disoal oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Roslin mengakui ada niat untuk melafazkan cerai tetapi tidak.
Bagaimanapun, ketika disoal balas Zulqarnain, Roslin mengakui ada menghabiskan masa dengan Raja Azmi di Kemensah, Hulu Kelang pada tarikh tersebut untuk makan durian dan menjalankan aktiviti berkuda sejak pukul 3 petang.
"Yang Arif, apa kena-mengena durian dan kuda dengan kes pegesahan lafaz cerai hari ini?'' bantah Roslizam.
Selepas selesai mendengar keterangan kedua-dua pihak, hakim syarie tersebut menetapkan 1 September ini untuk mendengar hujah lisan dan bertulis pihak plaintif manakala defendan dijadualkan untuk berhujah pada 22 September ini.

No comments:

Post a Comment