WASHINGTON: Israel mempunyai masa ‘lapan hari’ untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran di Bushehr dan menghentikan usaha negara itu mengaktifkan loji berkenaan.
Menurut bekas Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Bolton, jika tindakan itu tidak diambil, Israel mungkin ‘terlewat’ untuk berbuat apa-apa.
“Apabila uranium dan bahan lain berada di reaktor itu, sesuatu serangan akan menyebabkan radiasi tersebar dan terkena orang awam Iran,” katanya kepada stesen Fox Business Network, semalam.
Justeru, kata Bolton, jika Israel mahu bertindak ke atas loji nuklear Iran di Bushehr itu, ia mesti dilakukan dalam tempoh lapan hari akan datang.
Tanpa tindakan itu, katanya, Iran akan mencapai sesuatu yang tidak pernah dimiliki mana-mana musuh Israel dan AS di Timur Tengah, iaitu reaktor nuklear.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada dia yakin Tel Aviv akan melakukan serangan ke atas Iran dalam tempoh itu, Bolton jelas meraguinya.
“Saya tidak fikir mereka akan menyerang dan nampaknya Israel akan terlepas peluang begitu saja,” katanya.
Bekas duta kontroversi itu turut mengecam Russia kerana peranan mereka membantu Iran membangunkan loji berkenaan.
“Seperti biasa, Russia memainkan peranan bertentangan daripada yang sepatutnya,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment