Thursday, August 19, 2010

Lampu Ramadan terbesar dunia


Beberapa penduduk Gaza yang lalu-lalang melihat sendiri lampu Ramadan terbesar, kelmarin. - AFP


GAZA CITY 18 Ogos - Dalam usaha terbaru mencatat rekod dunia Guinness bagi mendapatkan perhatian dunia tentang kesengsaraan Palestin, seorang penduduk Gaza semalam mencipta 'lampu Ramadan terbesar dunia'.
Struktur setinggi 10 meter dan 3.5 meter lebar yang diperbuat dari kayu dan kain itu dibina menggunakan bentuk lampu tradisional yang menghiasi jalan-jalan raya negara Islam seluruh dunia dibulan puasa.
"Saya mahu mencatat rekod dunia Guinness dalam usaha memberi mesej kepada dunia agar memecahkan kepungan ke atas Gaza," kata Mustafa Massoud, 24, yang menghabiskan AS$400 (RM1,258) untuk membeli bahan bagi membina pelita itu.
Dia turut melahirkan harapan untuk mengirim mesej kepada kerajaan-kerajaan Palestin yang bertelagah di Gaza dan di Tebing Barat supaya menghentikan perbalahan.
Percubaan Massoud itu menyusuli usaha UNRWA untuk mencipta rekod bagi kanak-kanak paling ramai melantunkan bola keranjang dan bermain layang-layang, dalam dua acara yang diadakan bulan lepas.
Kedua-dua acara itu juga bertujuan menarik perhatian antarabangsa terhadap nasib penduduk Gaza yang dikenakan sekatan Israel dan Mesir sempat tahun lalu.
Israel melonggarkan sekatan Jun lalu selepas serangan komandon ke atas flotila bantuan 31 Mei lalu membunuh sembilan aktivis Turki dan mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun Israel masih menghalang penduduk Gaza mengeksport barang keluaran mereka dan membataskan pergerakan penduduk untuk memasuki dan meninggalkan wilayah itu. - AFP

No comments:

Post a Comment