NEW YORK 18 Ogos - Gabenor New York, David Paterson merancang untuk membincangkan pemindahan projek pusat kebudayaan Islam dan masjid ke lokasi kurang kontroversi yang terletak lebih jauh dari tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Jurucakap Paterson, Maggie McKeon semalam berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pemaju projek tersebut walaupun belum ada perbincangan rasmi antara gabenor, imam atau pemaju.
"Kami bagaimanapun merancang untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat," kata McKeon.
Ahli Dewan Perwakilan AS dari New York, Peter King berkata, beliau membincangkan isu itu dengan Paterson semalam dan diberitahu gabenor akan menemui pegawai Islam minggu ini untuk membincangkan penyediaan peruntukan kerajaan negeri bagi membantu mereka mencari lokasi lain.
Jurucakap bagi projek tersebut, Oz Sultan berkata, setahu beliau belum ada pertemuan yang dijadualkan.
"Kami menghargai perhatian yang diberikan oleh gabenor sementara kami terus mengadakan perbincangan dengan ramai pegawai kerajaan," katanya.
Lokasi yang dicadangkan untuk projek itu, hanya dua blok dari 'Ground Zero' atau tapak runtuhan WTC yang musnah dalam serangan 11 September, 2001, mencetuskan perbahasan hangat di kalangan rakyat AS berhubung isu sama ada pusat kebudayaan dan masjid itu patut dibina di situ.
"Jika semua orang merenung isu ini sejenak, sebenarnya untuk kepentingan semua pihak jika lokasinya dipindahkan, terutamanya masyarakat Islam, untuk menunjukkan mereka bersungguh-sungguh mahu merapatkan hubungan dan bukan sekadar untuk membuat kenyataan dengan membina sebuah masjid dekat Ground Zero," kata King.
Katanya, beliau mahu melihat pusat kebudayaan dan masjid itu dibina tetapi jauh dari tapak serangan 11 September kerana lokasi yang dicadangkan sekarang akan membuka semula banyak luka lama.
Pelan bagi projek yang dikenali sebagai Cordoba House itu meliputi sebuah bangunan 13 tingkat yang menempatkan sebuah masjid, auditorium, kolam renang dan bilik mesyuarat. - Reuters
No comments:
Post a Comment