Thursday, August 19, 2010

Felcra tidak tipu rakyat: Tajuddin



SHAH ALAM – Tidak berlaku sebarang penyelewengan dan kepincangan dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) seperti yang didakwa Pengerusi Biro Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas Pusat, Mazlan Aliman. 

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahma berkata, jika segala dakwaan yang dikemukakan itu benar, pasti pihak berkuasa atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan siasatan menyeluruh terhadap agensi kerajaan ini. 

“Namun tidak ada siasatan daripada pihak berkuasa itu, kemukakan semua aduan yang dilaporkan, jangan bercakap tanpa bukti, laporan yang dibuat mesti di atas sebab yang kukuh. 

“Nasihat saya kepada pembangkang, hentikanlah permainan politik kotor dengan membuat tohmahan yang tidak berasas, tidak kiralah mana-mana isu sekalipun, tingkatkan kualiti untuk berpolitik,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. 

Menurutnya, pembangkang tetap tidak akan berpuas hati dan akan terus ’membongkar’ sesuatu untuk kepentibngan politik mereka. 

Tajuddin berkata, semua yang dilakukan pembangkang adalah untuk meraih undi rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. 

”Tidak mungkin institusi yang ternama seperti Felcra akan menipu rakyat lebih-lebih lagi kaum Melayu. 

“Alasan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, tapi apa yang penting, kemukakan bukti kepada Felcra,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu yang sama selepas siri Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didedahkan oleh pembangkang. 

“Jika terdapat penyalahgunaan kuasa di dalam Felcra pasti kerajaan telah menangani dan bersedia untuk memperbaiki segala kepincangan berkenaan dengan sebaik mungkin. 

“Semuanya bermotifkan politik, bermacam cara digunakan oleh pihak pembangkang untuk menarik perhatian pengundi,” katanya lagi apabila mengulas tentang pendedahan yang dilakukan oleh Pas. 

Di peringkat Felda, katanya, jika wujud masalah-masalah dalam kalangan peserta Felda, segala permasalahan sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa yang ditubuhkan, terdapat saluran dikhaskan untuk peneroka. 

Ahmad berkata, tuduhan yang dilemparkan harus diteliti dengan telus kerana pasti mempunyai motif di sebaliknya, dan beliau yakin, kerajaan tidak akan menipu rakyat. 

Kelmarin, Alimin mendedahkan wujudnya penyelewengan berlaku dalam Felcra menjejaskan kredibiliti institusi pemulihan tanah di negara ini. 

Setakat ini, Alimin mendakwa mengenalpasti 22 penyelewangan berlaku di agensi kerajaan itu, termasuk mempunyai dokumen bagi membuktikannya. 

Antara dakwaan salah laku itu termasuk pembelian 20,000 ekar estet di Sabah dan pelaburan RM17 juta bagi membeli bon tanpa mendapat kelulusan. 

Selain itu berlaku salah urus tadbir dalam unit perniagaan khas Felcra Berhad dan koperasi pesertanya.

No comments:

Post a Comment