SEPANG 18 Ogos - Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin adalah pengalaman luar biasa yang tidak boleh dibeli oleh wang ringgit, kata Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Beliau berkata, pada misi itu, mereka mengenal pasti hampir 20 pelajar Palestin yang memohon untuk mendapatkan bantuan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di Malaysia.
Abdul Azeez yang mengetuai misi anjuran kelab itu berkata, bantuan biasiswa itu akan direalisasikan dalam misi kedua ke Palestin yang dijadualkan pada Disember ini.
"Semasa saya berjumpa mereka, bantuan yang sangat diperlukan dan dikehendaki ialah membantu anak-anak mereka menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan misalnya," katanya dalam sidang media sejurus tiba di tanah air dari Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Abdul Azeez memberitahu, kumpulannya turut berdepan dengan saat-saat yang menakutkan apabila terpaksa bertemu dengan pemimpin kanan Hamas dan menunaikan solat sunat tarawih dengan diawasi oleh 2,000 tentera bersenjata.
"Kami berada di kawasan penempatan untuk pelarian dan di situ, apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Misi mereka juga jelas beliau, diawasi oleh kamera tentera Israel yang diletakkan pada alat khas menyerupai layang-layang di ruang udara.
"Ada di kalangan anggota misi yang agak takut, tapi saya tanamkan dalam diri mereka bahawa kita berada di sini (Palestin) untuk misi kemanusiaan dan sedang berjihad. Jika berlaku apa-apa, kita akan (mati) syahid," katanya.
Sementara itu, penyanyi terkenal Fauziah Latiff yang turut menyertai misi tersebut ketika ditemui berkata, beliau beberapa kali menitiskan air mata apabila melihat kesusahan yang terpaksa diharungi oleh penduduk Gaza.
"Saya sedih apabila melihat masih ada rumah yang dibina daripada ranting-ranting kayu yang disatukan dan lantainya pula beralaskan pasir semata-mata.
"Kita patut bersyukur dengan kehidupan di Malaysia. Saya sangat sedih apabila melihat kanak-kanak di sana terpaksa hidup dalam serba kekurangan," katanya.
No comments:
Post a Comment