Thursday, August 19, 2010

Perkasa buat laporan polis berhubung ucapan Soi Lek berkaitan hak bumiputera


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat satu laporan polis berhubung ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyentuh hak kaum bumiputera pada Perasmian Kongres Ekonomi Cina di ibu negara, baru-baru ini.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang Perkasa Pusat, Amer Hassan berkata, intipati ucapan Soi Lek yang meminta kuota ekuiti bumiputera dihapuskan secara beransur-ansur dan digantikan dengan sistem meritokrasi dianggap sebagai prejudis.
Jelasnya, kenyataan Soi Lek itu dilihat melampaui batas kerana beliau tidak boleh menyentuh hak keistimewaan kaum bumiputera.
"Soi Lek langsung tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya penduduk Melayu. Saya tahu ramai daripada kaum lain yang marah dengan ucapan beliau.
"Sesiapa yang membangkitkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan keistimewaan sesuatu kaum, ia adalah menyalahi undang-undang selain boleh didakwa di mahkamah.
"Beliau (Soi Lek) seharusnya sedar bahawa kenyataannya di dalam ucapan itu boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan kaum bumiputera khususnya Melayu," katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Dalam ucapan bertajuk 'Peranan Masyarakat Cina Mencapai Sasaran Model ekonomi Baru (MEB)' pada 14 Ogos lalu, Soi Lek telah menggariskan sebanyak 12 resolusi bagi memantapkan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10.
Antara salah satu cadangan kongres itu ialah meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.
Tambah Amer, Perkasa berharap agar satu tindakan diambil oleh pihak berkuasa termasuk memanggil Soi Lek untuk dirakam percakapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

No comments:

Post a Comment