Thursday, September 23, 2010

Malaysia kutuk penderaan pekerja


PUTRAJAYA 22 Sept. - Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja, tidak kira kewarganegaraan ataupun sektor pekerjaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) hari ini.
Justeru, kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru, membabitkan seorang pembantu rumah dikenali Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 September lepas.
"Adalah dikesali bahawa kejadian tersebut berlaku, walaupun majikan-majikan kepada pembantu-pembantu rumah telah sering diberi nasihat yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Anifah berkata, sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Luar akan memberi bantuan yang diperlukan kepada kerajaan Republik Indonesia bagi menguruskan perkara berkaitan.
Katanya, kerajaan Malaysia juga memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi serta menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku kesalahan tersebut.
Pembantu rumah berumur 26 tahun itu, dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan ekoran itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Mereka juga akan turut disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment