ALOR SETAR, 23 Sept: Kepimpinan MCA Kedah diingatkan supaya tidak menimbulkan pelbagai isu negatif mengenai kerajaan negeri semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.
Menteri Besar, kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, MCA sebenarnya sudah kehilangan taring setelah tidak lagi mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina.
Beliau menyatakan demikian sebagai menolak dakwaan Pengerusi MCA negeri, Datuk Chong Itt Chew kononnya ekonomi negeri sedang berada pada tahap yang membimbangkan.
Katanya, masalah dalaman yang dihadapi oleh parti itu sendiri membuatkan masyarakat sudah tidak memberi kepercayaan kepada mereka lagi.
Beliau menambah, setelah melihat kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicapai oleh PR Kedah, maka pemimpin MCA menimbulkan pelbagai isu supaya sokongan beralih semula kepada parti itu.
"Ini termasuklah mendakwa ekonomi negeri Kedah telah menguncup sehingga 30 peratus. Pada hakikat sebenarnya fakta tersebut adalah menyimpang dan tidak betul.
“Kenyataan yang mereka buat ini adalah kerana peratusan pemilih baru yang berdaftar mencatatkan DAP mempunyai peratusan yang paling tinggi jika dibandingkan dengan parti-parti yang lain," ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, peratusan itu membuktikan masyarakat Cina sudah beralih sokongan kepada DAP dan PKR.
Tambahnya lagi, MCA kini sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang serius setelah kepimpinan parti mereka terlibat dalam pelbagai isu yang kontroversi.
Katanya lagi, dakwaan terhadap mantan Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik terhadap penyelewengan yang berlaku adalah satu tamparan hebat kepada parti tersebut.
Di samping itu, kata beliau terpalitnya presiden yang ada kini, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam isu skandal seks juga mencalar imej parti tersebut.
"Oleh kerana situasi yang terdesak itu, maka MCA akan melakukan apa jua cara bagi mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap mereka, walaupun menyedari pengaruh mereka semakin menurun jika dibandingkan dengan sokongan yang diberikan kepada DAP," tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment