Thursday, September 23, 2010
Hukuman mati hadiah hari lahir
SHAH ALAM – Mohd Fazli Azri Jamil menerima hadiah hari lahir ke 28 semalam dengan penuh tragis berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan supaya dia dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Syafiah Humaira Sahari, anak teman wanitanya dengan cara sadis, Februari lalu.
Suasana pilu menyelubungi kawasan mahkamah, dengan ibu Mohd Fazli, Nur Haziah Yusof, meraung dan memeluk erat tubuh anaknya sebelum rebah di tepi kandang tertuduh.
Adik beradik dan saudara mara yang lain turut menangisi keputusan mahkamah itu, kecuali neneknya yang kelihatan tabah dan memujuk Nur Haziah supaya menerima takdir.
Dia didapati bersalah membunuh Syafiah Humaira, 3 tahun, di padang bola Batu 30, Batang Kali, pada jam 6.30 petang, 25 Februari 2010.
Ketika membuat rayuan, Mohd Fazli, diwakili peguam Gurbachan Singh, berkata dia sedang lalok akibat ganja dan minuman keras Guiness Stout hingga tidak ingat insiden semasa kejadian itu, tetapi ditolak mahkamah.
Hakim, Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata, pemandu teksi itu waras ketika melakukan perbuatan itu.
Berdasarkan keterangan empat saksi, mereka melihat Mohd Fazli melakukan pembunuhan itu dengan cara menendang dan memijak perut Syafiah Humaira menggunakan kasut bola yang mempunyai 'stud’ (paku).
Malahan, katanya, keterangan saksi tidak disoal balas peguam sekiranya perbuatan itu konsisten dengan perbuatan seseorang yang sedang mabuk atau lalok.
Menurutnya kegagalan soal balas tersebut dianggap sebagai menerima fakta.
“Tertuduh jelas waras. Faktanya, tertuduh boleh memandu teksi dari rumah pergi ke padang bola dan kemudian balik. Itu jelas tidak konsisten dengan keadaan orang mabuk,” kata Mohtarudin.
Mengenai dakwaan bahawa Syafiah Humaira cedera kerana jatuh motosikal yang terhentak bonggol jalan dan tidak memakai topi keledar, hakim berkata ia tidak konsisten dengan kecederaan akibat kemalangan berdasarkan keterangan pakar perubatan.
Dakwaan bahawa Syafiah Humaira cedera akibat jatuh di tandas pula, menurut Mohtarudin, tidak pernah diberitahu oleh Mohd Fazli kepada sesiapa yang dikenalinya.
Perihal hujahan peguam supaya pertuduhan bunuh dikurangkan kepada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, beliau bersetuju dengan pendakwaan bahawa dalam kes ini Syafiah Humaira hanya seorang kanak-kanak yang mempunyai daya tahan berbeza dengan orang dewasa.
“Perbuatan tertuduh menghempas pintu teksi sehingga terkena kepala, menendang dan memijak perut Syafiah Humaira menggunakan kasut bola tidak boleh diterima dalam menunjukkan tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh,” kata Mohtarudin yang mensabitkan Mohd Fazli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu hanya memperuntukkan satu hukuman, iaitu gantung sampai mati.
Walaupun tangisan ibu dan sanak saudara bergema, namun Mohd Fazli kelihatan tersenyum dengan ‘hadiah hari lahir’ yang diterimanya itu.
Dengan tenang dia kelihatan mencium dahi teman wanitanya, iaitu ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25.
Mohd Fazli, ketika dibawa keluar mahkamah, sempat melemparkan senyuman kepada wartawan sambil mengucapkan, “terima kasih wartawan semua”.
Kes arwah Syafiah Humaira mendapat liputan luas media berikutan dia menemui ajal akibat perbuatan teman lelaki ibunya sendiri.
Labels:
bunuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment