Thursday, September 23, 2010
Suami mithali
KUANTAN - “Beginilah keadaan isteri saya sejak sembilan tahun yang lalu, tidak bergerak-gerak malah langsung tidak berikan tindak balas,” kata bekas tentera, Salleh Daud, 54, suami kepada Rusminah Mahusin, 50, yang masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) membuang ketumbuhan dalam otak pada 14 Disember 2001.
Salleh berkata, ketika kejadian, bahagian kiri badan isterinya lumpuh manakala bahagian kanan masih boleh bergerak sebelum Rusminah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, Rusminah kemudian terpaksa dipindahkan ke HKL untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesan terdapat ketumbuhan dalam otak sebesar dua sentimeter menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan.
Menceritakan semula, Salleh berkata, selepas selesai menjalani pembedahan, keadaan isterinya tidak ubah seperti `mayat hidup’ apabila masih tidak sedarkan diri serta mampu bergerak dengan bebas.
Menurutnya, berikutan itu, dia terpaksa bekerja lebih gigih demi menyara kos kehidupan isterinya yang memerlukan lampin pakai buang setiap bulan, susu selain menanggung anak bongsunya, Mohd Farish Aiman, 10.
Salleh yang berasal dari Kelantan dan tinggal di Felda Panching Utara, di sini, berkata, waktu siang dia terpaksa bergelar `ibu’ untuk menyiapkan Mohd Farish ke sekolah manakala waktu malam dia bertugas pula di Sekolah Integrasi Indera Mahkota di sini sebagai pengawal keselamatan.
”Begitulah kehidupan saya selama sembilan tahun untuk menguruskan rumah tangga tetapi saya tidak pernah merungut kerana saya sayangkan keluarga biarpun terpaksa menempuh kehidupan yang amat menyeksakan.
”Sudah berpuluh-puluh khidmat pengamal perubatan tradisional digunakan demi memulihkan keadaan isteri tersayang namun sehingga kini masih gagal,” katanya.
Perkahwinan Salleh dan Rusminah yang hampir mencecah 23 tahun dikurniakan empat cahaya mata yang berumur antara 10 hingga 21 tahun dan kesemua mereka masih belajar lagi.
Salleh yang pernah berkhidmat dengan Tentera Darat Malaysia, berkata Rusminah mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang serta empat tin susu dalam tempoh sebulan.
”Saya reda dan akan setia menjaga isteri sampai akhir hayat. Saya terlalu sayangkannya kerana dia (isteri) seorang yang baik serta bertanggungjawab dalam hal menguruskan rumah tangga dan anak-anak sepanjang dia sihat,walau apa pun terjadi kepadanya selepas ini saya pasrah,” katanya.
Labels:
mithali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment