Thursday, September 23, 2010

Islamfobia boleh dibendung - Najib


PUTRAJAYA 22 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya perasaan Islamfobia mampu ditangani jika semua pihak memiliki pengetahuan kepada penyebab utama berlakunya salah faham, tekanan dan konflik yang wujud.
Perdana Menteri berkata, ini kerana tanpa pengetahuan itu, ia akan mendedahkan seseorang itu kepada kejahilan dalam memahami nilai-nilai asas dan keindahan agama Islam itu sendiri.
Malah, kata beliau, ia juga akan menyukarkan kewujudan nilai-nilai baik dan sikap memahami antara satu sama lain.
''Hari ini kita dengar perasaan Islamfobia dan sudah tentu ia serius sehingga menjadi tajuk muka depan majalah The Time baru-baru ini.
''Saya terkejut apabila membaca tinjauan yang dibuat oleh majalah itu bahawa 26 peratus daripada rakyat Amerika Syarikat percaya Presiden Barack Obama itu seorang yang beragama Islam. Ia menunjukkan wujudnya sikap jahil dalam dunia ini mengenai nilai asas dan kebaikan agama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Muhibah Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Agama Sempena Sambutan Hari Malaysia di Dewan Utama, Kementerian Kewangan hari ini.
Najib memberitahu, Islam menentang sebarang bentuk keganasan dan tidak membenarkan sama sekali penganutnya membunuh orang awam termasuk dalam peperangan.
''Dunia hari ini banyak orang 'kepala tidak betul', negara maju pun ada orang 'kepala tidak betul' dan niat nak membakar kitab suci al-Quran itu adalah orang 'kepala tidak betul'," katanya.
Ini kerana, kata Perdana Menteri, golongan itu tidak boleh menerima dan melihat agama lain ada kebaikannya termasuklah agama Islam.
''Yang meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 itu bukannya Islam tetapi sekumpulan pengganas yang bertindak merampas kapal terbang dan juga mensabotaj agama Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment