Thursday, September 23, 2010

Perkauman bawa kehancuran


PUTRAJAYA 22 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan sebarang transformasi kerajaan dan ekonomi yang diusahakan ketika ini tidak akan berlaku tanpa perpaduan nasional antara kaum dan agama.
Tegas Perdana Menteri, di mana-mana negara di dunia sekali pun jika pemerintahnya asyik bertumpu kepada soal pembangunan dan ekonomi semata-mata, negara terbabit boleh hancur lebur apabila ketegangan kaum dan agama bermaharajalela.
Sebab itu, kata Najib, selaku ketua kerajaan beliau memberi sokongan padu dan terbuka kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama yang dipengerusikan oleh Penyelaras Khas Jemaah Menteri, Datuk Ilani Isahak.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut berfungsi sebagai satu platform dan mekanisme penting yang mampu membendung ketegangan antara kaum yang mungkin timbul daripada kenyataan-kenyataan berunsur kontroversi dan perlakuan provokasi.
‘‘Ini kerana menerusi (dalam) jawatankuasa ini, banyak juga perkara yang perlu dibincangkan dari hati ke hati, suasana muhibah dan secara tertutup.
‘‘Untuk kita luahkan (sesuatu isu sensitif) secara terbuka ia amat sukar bagi kita menukar pendirian tanpa rasa malu kerana terpaksa buat (secara) kompromi.
‘‘Kita juga tidak mahu luahkan secara terbuka kerana (mungkin) orang lain akan ‘tumpang semangkuk’ dengan buat komen atas komen dan ia seterusnya akan semakin buruk kerana isu menjadi hangat. Sebab itu saya tertarik hati dengan jawatankuasa ini dan sebagai ketua kerajaan, saya memberi sokongan penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Muhibah Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Agama Sempena Sambutan Hari Malaysia di Dewan Utama, Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Antara yang hadir ialah Presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Dr. Thomas Philips; Timbalan Pengerusi Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN), Datuk Ahmad Ismail; Bishop Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Ng Noon Hing dan Presiden Persatuan Buddhist Malaysia, Ven Seck Jit Heng.
Selain itu, majlis yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet itu disertai Presiden Malaysia Hindu Sangam, R.S Mohan Shan; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar V.Harcharan Singh dan Presiden Persekutuan Pertubuhan Taoist Malaysia (FTAM), Daozhang Tan Hoe Chieow.
Perdana Menteri berkata, dari segi konteks realiti kehidupan di Malaysia, ia memerlukan rakyatnya membuat pertimbangan yang bijak dan berhemah supaya tidak timbul sebarang kontroversi yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum.
‘‘Boleh dikatakan sepanjang 53 tahun ini melainkan ketika (rusuhan kaum) pada 1969, kita dapat hidup rukun dan damai.
‘‘Ini kerana kita telah dapat temui satu formula yang inklusif umpamanya jika kita tetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, kita tidak ketepikan penggunaan bahasa-bahasa ibunda yang lain,” katanya.
Kata Najib: ‘‘Demikian juga apabila kita masyhurkan Islam sebagai agama Persekutuan, kita pada masa sama menjamin pula hak (mengamalkan) agama lain. Begitu juga hak bumiputera dan bukan bumiputera. Formula ini merupakan payung induk yang menjamin kelangsungan Malaysia.”
Dalam aspek ini, Perdana Menteri menghargai perjumpaan hari ini yang disifatkan beliau boleh memupuk persefahaman yang lebih baik antara penganut-penganut agama.
‘‘Ia (jawatankuasa) tidak mengambil kuasa daripada kerajaan dan melalui nasihat-nasihat dari situ, kita boleh membuat pertimbangan yang berkesan.
‘‘Saya percaya cara ini adalah sebaik-baiknya sebab kita mesti kenali keindahan dan nilai asas agama,” katanya.
Menerusi jawatankuasa itu juga, kata Najib, ia dapat merungkai masalah semasa seperti penyalahgunaan dadah dan masalah remaja yang menjadi cabaran besar masa kini.
‘‘Mudah-mudahan Malaysia menjadi negara yang kita semua impikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment