KUALA LUMPUR, 23 Sept: Tian Chua, seorang lagi calon yang layak bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR memaklumkan bahawa beliau akan membuat pengumuman untuk bertanding atau tidak selepas selesai proses pencalonan.
"Saya sendiri akan membuat keputusan selepas habis semua mesyuarat agung (peringkat cabang).
"3 Oktober habis kesemuanya, lebih kurang dua tiga hari kemudian, saya akan buat keputusan," ujarnya pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.
Sambil menyuarakan rasa terharu kerana mendapat pencalonan daripada akar umbi parti, beliau berkata, adalah lebih baik baginya untuk mencermati sistem 'satu anggota satu undi' yang pertama kali diperkenalkan dalam Pemilihan PKR 2010 ini.
Ini kerana, katanya proses pemilihan adalah pelantar ujian yang penting bagi PKR sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
Kata Pengarah Strategi PKR itu lagi, partinya mahu melakukan pertunjukan sistem demokrasi yang sebenar kepada negara dan rakyat.
"Mungkin inilah 'persembahan' yang kita nak tunjuk pada orang ramai, bagaimana demokrasi dapat dilakukan dalam sebuah parti dan boleh ikut.
"Kalau Pakatan Rakyat memerintah kelak, 'persembahan' begini yang kita nak cadangkan untuk Malaysia kerana parti sudah ada pengalaman," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti kerana begitu komited dalam menilai kredibiliti dan faham politik Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim, yang masing-masing telahpun mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
"Mula-mula parti mahu memperkenalkan sistem ini, saya pun bimbang tetapi ahli telah membuktikan komitmen masing-masing (dalam) menilai pendirian dan politik kedua-dua calon ini," beliau menambah.
Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa kepemimpin tertinggi parti pada musim ini adalah kepemimpinan yang dinamik kerana dipilih secara langsung oleh ahli-ahli parti.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustaffa Kamil Ayub turut diumumkan sebagai seorang lagi calon yang layak bertanding untuk kerusi nombor 2 parti itu.
Namun, Harakahdaily gagal menghubungi pemidato mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi mendapatkan maklum balas lanjut.
Pun begitu, seorang anggota Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dari Perak memberitahu Harakahdaily bahawa Mustaffa sebenarnya sedang membuat tinjauan akhir dari akar umbi parti.
"Mus (Mustafa) seorang yang sederhana dan berhati-hati, mungkin Mus sedang lihat apa kata anggota-anggota parti," ujarnya ketika dihubungi kemudian.
Sekiranya Tian dan Mustafa masing-masing menyatakan kesudian untuk bertanding, bermakna kerusi Timbalan Presiden PKR bakal menyaksikan pertarungan empat penjuru yang sudah tentu lebih sengit kelak.
No comments:
Post a Comment