Thursday, September 23, 2010

Shamsul gesa KP Selangor ikut prosedur

Hazayani Zakaria  

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Ketua Polis Selangor profesional dalam menjalankan siasatan terhadapnya berkait kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya.

Shamsul dalam satu kenyataan balas kepada Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis harus mengikut prosedur yang betul jika mahu memanggil beliau untuk memberikan keterangan.

"Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media (investigation through media).

"Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis," kata Shamsul.

Menurut Shamsul, beliau akan menghantar satu salinan kenyataan rasminya ke laman sosial Facebook Khalid dan turut mengarahkan peguamnya, Yusmadi Mohd Yusoff untuk berurusan dengan pihak polis.

"Saya juga akan menghantar sesalinan respons rasmi saya ke laman sosial Facebook Datuk Khalid memandangkan "kaedah Facebook" ini merupakan kegemaran beliau," katanya.

Beliau juga akan mengadakan satu sidang media selepas bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 3 petang esok bagi menjelaskan pendiriannya kepada umum.

Khalid sebelum ini mendakwa Shamsul gagal dihubungi bagi mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau mengenai kes pembunuhan Sosilawati.

Khalid berkata, kegagalan Shamsul berkerjasama dengan pihak polis itu memungkinkan waran tangkap dikeluarkan kepada beliau.

Shamsul bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang tuduhan, sebaliknya melontarkan pertanyaan kemungkinan wujud sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting.

Ianya ekoran kegagalan pihak polis bertindak dalam beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Menurutnya, kes-kes berkenaan hanya dibuka semula selepas terbongkarnya kes pembunuhan Sosilawati.

Beliau juga menegaskan, sehingga hari ini beliau tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah-kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis.

"Justeru adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa saya gagal dihubungi sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment