Thursday, September 23, 2010

Kerajaan akan senarai hitam syarikat I'DA World - MB


KOTA BHARU 22 Sept. - Kerajaan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) daripada beroperasi di negeri ini kerana membuat dakwaan tidak berasas.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ia berikutan dakwaan syarikat tersebut kononnya telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) bernilai RM1 trilion yang akan dimulakan di Tumpat pada 15 November ini.
Beliau turut menyifatkan dakwaan syarikat itu yang mengumumkan pemberian sumbangan peribadi sebanyak RM4 bilion kepada Pas negeri, sebagai mengarut.
Selain itu, beliau turut menegaskan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi mewakilinya pada majlis penyerahan sumbangan tersebut sebagaimana didakwa.
"Berita yang tersiar dalam semua akhbar bahawa ada RM4 bilion dihadiah daripada syarikat I'DA World, sebenarnya tak ada sangkut paut dengan kerajaan negeri Kelantan, tidak ada sebarang projek yang dilulus kepada syarikat ini.
"Hadiah RM4 bilion kepada wakil Menteri Besar ini karut semata-mata, tak ada orang saya lantik sebagai wakil saya untuk terima replika tersebut, mengarut. Syarikat ini akan disenarai hitam di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment