Thursday, September 23, 2010

Polis beri amaran kepada Ahli Parlimen Kapar



SHAH ALAM 22 Sept. - Polis hari ini memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam (gambar) kerana membawa isteri ahli perniagaan dari India yang dilaporkan hilang awal tahun ini ke lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, amaran tersebut dikeluarkan kerana tindakan Manikavasagam membawa wanita itu, S. Usharani adalah tidak wajar kerana ia dikhuatiri boleh menganggu siasatan polis.
Katanya, kes kehilangan ahli perniagaan warga India itu, Allal Kathan Muturaja, 34, masih dalam siasatan pihak polis.
Beliau turut mengingatkan wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa dia seharusnya membawa Usharani kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, bukannya membawanya ke lokasi pembunuhan usahawan wanita berkenaan.
"Kenapa dia perlu memandai-mandai, dia nak jadi polis ke?. Kita tidak benarkan sesiapa pun untuk melawat lokasi kejadian pembunuhan di ladang itu.
"Apa dia buat, dia harus maklum dan berbincang dengan polis dahulu. Kita bercadang untuk memanggil semula Usharani untuk mendapatkan keterangannya termasuk mengadakan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) ahli keluarganya.
"Usharani telah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada 8 September lalu dan kita dah ambil keterangan daripadanya. Jika tindakan Manikavasagam ini didapati mengganggu siasatan, tindakan tegas akan kita ambil," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penerimaan sumbangan tiga balai polis bergerak dan tiga buah motosikal kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Subang Jaya dan Klang Utara daripada Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Tunku Badlishah Tunku Annuar di sini hari ini.
Khalid mengulas tindakan Manikavasagam yang membawa Usharani melawat ke Ladang Gadong, Banting, kira-kira pukul 11.35 pagi ini setelah isteri ahli perniagaan yang dilaporkan hilang itu tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketika ini, polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung kehilangan Allal Kathan yang dilaporkan hilang di Banting awal tahun ini dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan Sosilawati serta tiga individu lain.
Ditanya mengenai tuduhan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang mengaitkan kepimpinan tertinggi polis terbabit dengan suspek pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya ketika ditemuramah oleh TV Selangor pada 13 September lalu, Khalid berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Shamsul Iskandar.
Katanya, waran tangkap tersebut mungkin akan dikeluarkan sekiranya Shamsul Iskandar masih enggan untuk memberikan kenyataan termasuklah menyerahkan bukti-bukti kepada pihak polis mengenai tuduhan yang dibuat itu.
Ini kerana katanya, polis telah meminta beliau hadir untuk memberikan bukti dan keterangan mengenai kenyataannya sebelum ini.
"Sehingga hari ini Shamsul Iskandar tidak membalas permintaan polis untuk berbuat demikian. Kita telah pun memanggil wartawan dan pembaca berita TV Selangor untuk memberikan keterangan, Isnin lalu.
"Kita cuba hubungi beliau untuk ambil keterangan, mulanya dia membuka telefon bimbitnya, tapi sekarang dah tutup. Saya nasihatkan supaya beliau datang untuk beri keterangan dan serah bukti dakwaan yang telah dinyatakannya sebelum ini, jangan hanya pandai menuduh saja.
"Kita beri peluang kepadanya untuk hadir berjumpa polis, kita akan keluarkan surat di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah. Kalau beliau masih ingkar, barulah kita akan keluarkan waran tangkap," tegasnya.

No comments:

Post a Comment