Thursday, September 23, 2010

Kini dikenali Sultan Muhammad V


KOTA BHARU 22 Sept. – Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra (gambar) yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru 13 September lalu, kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.
Pengelola Istana Diraja negeri, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, penggunaan gelaran rasmi tersebut berkuat kuasa selepas baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan.
“Al-Sultan Kelantan memperkenan gelaran itu dan ia akan menjadi nama rasmi baginda untuk sebarang majlis.
“Ia juga gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, Sultan Kelantan berkenan menggunakan nama itu atas kehendak baginda sendiri bagi mendapat keberkatan memandangkan nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.
Tuanku Muhammad Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ismail Petra yang sedang gering.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.
Katanya, gelaran Sultan Muhammad II pula digunakan oleh baginda Long Senik Long Tan (Sultan Muhammad Mulut Merah) yang memerintah antara 1836 hingga 1886.
Tambah beliau, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad pula menggunakan gelaran Sultan Muhammad III dan memerintah pada 1890 hingga 1891.
“Gelaran Sultan Muhammad IV telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 hingga 1920,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihak istana akan memaklumkan kepada semua jabatan kerajaan negeri mengenai penggunaan nama berkenaan yang telah diwartakan untuk kegunaan rasmi.

No comments:

Post a Comment