KUBANG PASU 22 Sept. - Polis menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup bahan larangan itu ke negara ini menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini dengan tertangkapnya seorang wanita warga asing bersama heroin bernilai lebih RM100,000 kelmarin.
Susulan penahanan wanita warga Indonesia berusia 25 tahun itu, polis menahan dua lagi wanita rakan senegaranya dan seorang lelaki tempatan berusia 24 hingga 30 tahun dipercayai ahli rangkaian sindiket berkenaan dalam satu operasi di Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff berkata, suspek pertama ditahan di hadapan pejabat Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam di sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari kelmarin selepas didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas beg jenis troli berwarna hitam yang dibawa oleh suspek menemui dua plastik lutsinar dan satu sampul mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 3.7 kilogram.
"Hasil siasatan mendapati, wanita itu mempunyai dokumen perjalanan lengkap dalam perjalanan menaiki bas dari Kemboja menerusi Thailand ke negara ini.
"Wanita itu dipercayai dijadikan sebagai 'keldai dadah' oleh sindiket pengedaran dadah yang mungkin didalangi warga Afrika dengan menggunakan modus operandi yang sama ketika memperdayakan wanita-wanita Malaysia.
"Cuma kali ini mereka menggunakan rakyat asing sebagai kurier," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.
Asri berkata, suspek direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment