KUALA LUMPUR 22 Sept. - Lapan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun tujuannya tidak dapat dikenal pasti.
Terdapat dakwaan bahawa kesemua suspek dibawa polis ke HKL untuk diambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi dipadankan dengan hasil penemuan serpihan tulang di sungai-sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting di Selangor baru-baru ini.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan, mereka sebenarnya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes.
Kesemua suspek dilihat menaiki sebuah trak polis yang dikawal rapi empat kereta peronda polis.
Mereka dikawal ketat anggota polis tiba di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL pada pukul 3 petang sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.
Kesemua suspek dilihat keluar dari jabatan itu dua jam kemudian iaitu kira-kira pada pukul 5 petang.
Suspek utama iaitu seorang peguam yang menggelarkan dirinya Datuk dilihat memakai pakaian lokap berwarna ungu manakala suspek-suspek lain memakai pakaian lokap berwarna oren.
Dalam pada itu, orang ramai juga mengambil kesempatan berkumpul mengerumuni pekarangan jabatan tersebut untuk melihat dari dekat wajah suspek berkenaan.
Kesemua mereka kini disiasat berhubung kes pembunuhan Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek telah mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting.
No comments:
Post a Comment