Thursday, December 9, 2010

200 dokumen babitkan Liong Sik jadi bukti



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/12/09

Pihak pendakwaan serah bahan kes tipu PKFZ Januari depan 

KUALA LUMPUR: Lebih 200 dokumen akan dikemukakan sebagai bukti pada perbicaraan kes penipuan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, pada 3 Mei ini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmadi Asnawi, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen terbabit yang sesetengahnya diklasifikasikan rahsia kepada pihak pembelaan pada Januari ini.Abdul Gani berkata, pihak pendakwaan memerlukan masa bagi membolehkan dokumen sulit itu dinyah rahsiakan kerana proses berkenaan memakan masa. 

Terdahulu, peguam Liong Sik, Wong Kian Kheong memohon diberi masa mencukupi untuk meneliti semua dokumen berkaitan dan meminta supaya perbicaraan kes bermula pada Mei. 

Ahmadi membenarkan permohonan Kian Kheong dan menetapkan tarikh perbicaraan kes pada 3 hingga 20 Mei tahun hadapan. 

Dalam prosiding semalam, bekas presiden MCA berkenaan ditemani isteri Toh Puan Ena Ling dan dua orang lelaki, Hee Liong dan Hee Keat, mengekalkan pengakuan tidak bersalah ketika tuduhan sekali lagi dibacakan terhadapnya. 
Ahmadi turut membenarkan permohonan Kian Kheong supaya wang jaminan RM1 juta melalui bon peribadi yang dikenakan terhadap anak guamnya dikekalkan sehingga kes perbicaraan selesai. 

Liong Sik dituduh menipu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ mengikut terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK). 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dan didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

No comments:

Post a Comment