Thursday, December 9, 2010

Dewan Rakyat kecoh lagi isu Anwar-Apco




2010/12/08

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat kecoh lagi hari ini apabila cubaan wakil rakyat pembangkang untuk menangguhkan persidangan dewan bagi membincangkan hukuman yang mungkin dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide, ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 

Beria-ia membela Ketua Pembangkang itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun untuk mempertikaikan keputusan Pandikar Amin yang menolak usul dikemukakannya semalam, kerana mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak dibicarakan seadilnya oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana tidak diberi peluang untuk membela diri.
"Tindakan itu tidak adil kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak akan mendengar lagi keterangan saksi termasuk daripada Anwar dan sebaliknya akan membuat rumusan berdasarkan sepucuk surat penjelasan oleh firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide pada 19 Ogos lalu."Kenapa Yang Berhormat Permatang Pauh juga tidak diberikan peluang untuk 'cross-examine' surat yang diberikan oleh Apco? Ini hanya menguatkan lagi andaian bahawa Apco ini cukup berkuasa untuk mempengaruhi UMNO dan Barisan Nasional. UMNO tunduk kepada rejim Zionis!" katanya. 

Mohamed Azmin mengemukakan usul untuk membincangkan isu Anwar itu kepada Dewan Rakyat pada Isnin lalu tetapi ditolak oleh Pandikar Amin dalam kamarnya hari ini, dengan alasan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen belum membuat sebarang keputusan berhubung kes Anwar-Apco berkenaan. 

Ketua Pembangkang itu telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas mendakwa kononnya konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide, firma perunding Amerika Syarikat. 

Sebelum ini dilaporkan bahawa Anwar mungkin berhadapan dengan tindakan digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat berikutan kenyataannya itu apabila jawatankuasa berkenaan mengemukakan cadangannya kepada Dewan Rakyat sebelum persidangan kali ini berakhir pada 16 Disember ini. 
Menjelaskan keputusannya menolak usul itu, Pandikar Amin menegaskan bahawa usul itu tidak dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat yang betul selain pihak jawatankuasa belum lagi menyerahkan laporannya berhubung siasatan kes berkenaan kepada Dewan Rakyat untuk membolehkan ia dibahaskan. 

Bagaimanapun alasan itu tidak diterima oleh Mohamed Azmin yang mencabar kesabaran Yang Dipertua Dewan apabila terus berhujah walaupun telah berkali-kali diarahkan supaya duduk. 

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) turut mencelah meminta supaya Pandikar Amin tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu kerana khuatir wujudnya elemen konflik berkepentingan kerana beliau juga pengerusi jawatankuasa berkenaan. 

Pandikar Amin, bagaimanapun, menolak andaian itu dan menegaskan beliau berpendapat tidak ada sebarang elemen konflik berkepentingan. 

Dewan persidangan seterusnya bertambah panas apabila lebih ramai wakil pembangkang bangun membantah manakala Mohamed Azmin pula lebih "galak" berbahas sehingga mengeluarkan kata-kata yang nyata tidak menyenangkan pihak BN. 

"Perang mulut" yang berpanjangan hampir satu jam itu memaksa Pandikar Amin untuk mengarahkan beberapa Ahli Parlimen yang degil supaya keluar Dewan sehingga 2.30 petang. 

"Tolong keluar, Padang Serai (PKR-N Gobalakrishnan), Balik Pulau (PKR-Yusmadi Yusoff) and Indera Mahkota (PKR-Azan Ismail). Siapa lagi yang berdiri? Juga boleh keluar," katanya yang menyebabkan majoriti ahli pembangkang meninggalkan persidangan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment